4 lagi Ahli Parlimen pembangkang disaman Yayasan WP atas isu jual tanah

4 lagi Ahli Parlimen pembangkang disaman Yayasan WP atas isu jual tanah

Mereka ialah Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Tan Kok Wai (Cheras), Hannah Yeoh (Segambut) dan Lim Lip Eng (Kepong).

Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Yayasan Wilayah Persekutuan menuntut ganti rugi RM10 juta atas kenyataan yang dibuatnya bersama Ahli Parlimen lain dari Kuala Lumpur pada 18 Nov 2020.
PETALING JAYA:
Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) menyaman empat Ahli Parlimen pembangkang atas kenyataan mereka berhubung laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai isu penjualan tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam kenyataan mendedahkan dirinya dan tiga lagi Ahli Parlimen lain, iaitu Tan Kok Wai (Cheras), Hannah Yeoh (Segambut) dan Lim Lip Eng (Kepong) sudah menerima notis tuntutan daripada YWP.

“Saya menerima notis tuntutan dari YWP bertarikh 4 Disember melalui firma guaman mereka, Shahul Hamidi & Haziq. Di antara tuntutan yang diberikan kepada saya adalah YWP meminta RM10 juta sebagai ganti rugi bagi kenyataan saya,” katanya merujuk kenyataannya bersama Ahli Parlimen lain dari Kuala Lumpur pada 18 Nov 2020.

Ahli Parlimen pembangkang dari Kuala Lumpur itu mendesak kerajaan memansuhkan YWP yang didakwa terbabit dalam penjualan tanah milik DBKL.

Ia susulan laporan PAC menyatakan pengurusan YWP terdedah kepada konflik kepentingan kerana menteri Wilayah Persekutuan dan datuk bandar Kuala Lumpur adalah pengerusi serta ahli lembaga pemegang amanah kepada yayasan itu.

Susulan itu, YWP dilapor memulakan tindakan undang-undang terhadap Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur atas dakwaannya terhadap yayasan itu.

Nik Nazmi berkata, laporan PAC yang dibentangkan Disember lalu berdasarkan prosiding pada 2019, ketika Ahli Parlimen Parit Sulong, Noraini Ahmad menjadi pengerusi PAC, yang kini merupakan menteri pengajian tinggi dan ketua Wanita Umno.

Katanya, peguam mereka, Syahredzan Johan sudah menjawab notis tuntutan YWP pada 26 Dis lalu.

“Mengapa YWP tidak mengambil sebarang tindakan terhadap anggota PAC lain, termasuk Noraini yang merupakan rakan menteri dan pimpinan Umno?” soalnya.

Katanya, beliau tidak gentar dengan saman itu dan akan terus menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat serta memperjuangkan kepentingan rakyat di kawasannya.

“YWP mempunyai projek yang sedang dijalankan di kawasan saya di Taman Tiara Titiwangsa. Saya sudah bekerjasama dalam perkara ini dengan Persatuan Penduduk Taman Tiara Titiwangsa sebelum pilihan raya 2018, yang terus berlanjutan semasa era Pakatan Harapan sehingga ke hari ini.

“Penduduk menentang projek tersebut. Sebagai rekod, penduduk sudah mengambil tindakan perundangan ke atas DBKL dan menang di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.