Wanita dituduh bantai kucing bunting, anak kucing sampai mati mengaku tak bersalah

Wanita dituduh bantai kucing bunting, anak kucing sampai mati mengaku tak bersalah

Broker hartanah berusia 51 tahun itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 dan boleh dipenjarakan tiga tahun jika sabit kesalahan.

Hah Choy Kheng (memakai topi) didakwa memukul seekor kucing bunting dan anak kucing sehingga mati dengan sebatang besi di luar pintu rumah pangsanya di Seberang Jaya.
BUTTERWORTH:
Seorang wanita mengaku tidak bersalah memukul seekor kucing bunting dan anak kucing sehingga mati di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini.

Broker hartanah, Hah Choy Kheng, 51, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memukul dua ekor kucing itu dengan batang besi berukuran 75cm di taman permainan berhampiran Blok B1, Pintas Kalui di Seberang Jaya pada 1.20 tengah hari, 29 Dis lalu.

Pertuduhan bawah Seksyen 29 (1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015, atas kesalahan memukul, menendang dan menyeksa haiwan dengan kejam, membawa denda hingga RM100,000 jika disabit kesalahan.

Tertuduh juga boleh dipenjarakan sehingga tiga tahun.

Kedua-dua kucing itu mati tidak lama selepas dipukul, akibat kecederaan parah.

Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang, Roziman Awang Tahrin menawarkan jaminan RM10,000, dengan seorang penjamin.

Hakim Norhayati Mohamad Yunus, menetapkan 4 Mac untuk sebutan kes. Tertuduh diwakili peguam, Shamsher Singh Thind.

Pada 30 Dis lalu, wanita itu dilaporkan berang dan memukul kucing berkenaan selepas dikatakan membuang najis di pintu kediaman tertuduh.

Tertuduh sendiri dilaporkan dipukul oleh penduduk setempat yang marah dengan tindakannya “membelasah” kucing bunting dan anak kucing itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.