Top Glove anggap laporan TV Kanada ‘amat memperdayakan’

Top Glove anggap laporan TV Kanada ‘amat memperdayakan’

Rakaman kamera tersembunyi disiarkan menunjukkan keadaan tempat tinggal sesak dan barisan pengeluaran yang gagal mematuhi peraturan mengekang Covid-19.

Top Glove Corporation berkata laporan Kanada tidak menyebut langkah pemulihan dilakukan syarikat itu.
PETALING JAYA:
Top Glove Corporation menafikan dakwaan dalam laporan televisyen Kanada yang menunjukkan persekitaran kerja tidak selamat serta tempat tinggal sesak membabitkan pekerja di kilangnya.

Menyelar laporan itu sebagai ‘amat memperdayakan’, syarikat itu berkata dakwaannya serta cara ditayangkan mengelirukan dan mencemar reputasi syarikat kerana mencadangkan ada pelanggaran dalam polisi sedia ada.

Katanya, laporan Canadian Broadcasting Corporation (CBC) sengaja tidak menunjukkan atau tidak memasukkan langkah pemulihan terkini dilaksanakan oleh Top Glove, termasuk komitmen syarikat itu untuk memerangi amalan buruh paksa serta pelaksanaan polisi kukuh untuk melindungi hak pekerjanya.

Menurut rancangan Marketplace CBC Jumaat lalu, kamera telah diseludup masuk ke dalam kilang dengan bantuan pekerja Top Glove.

CBC mendakwa rakaman itu menyokong dakwaan pekerja mengenai persekitaran kerja yang tidak selamat dan keadaan tempat tinggal yang panas lagi sesak.

Top Glove berkata ia ‘amat kecewa’ kerana langkah pemulihannya tidak disiarkan atau dinyatakan secara adil dalam video utama CBC.

Menurut syarikat itu, kilangnya di Meru, Klang, dibuka semula dengan langkah keselamatan dan kesihatan yang diperbaiki, selain penekanan terhadap pendidikan serta pematuhan protokol Covid-19 selepas digantung operasi pada November dan December.

Top Glove menegaskan mengamalkan toleransi sifar terhadap sebarang bentuk keganasan, gangguan atau penderaan pekerjanya, malah telah memindahkan kira-kira 2,000 pekerja ke asrama baru di Klang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.