Program subsidi upah diperluas semua sektor, kata PM

Program subsidi upah diperluas semua sektor, kata PM

Majikan beroperasi dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) layak memohon Program Subsidi Upah 3.0 untuk sebulan.

PETALING JAYA:
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumukan semua majikan yang beroperasi dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) layak memohon Program Subsidi Upah 3.0 tanpa mengambil kira sektor.

Muhyiddin menerusi pengumuman pakej bantuan khas itu berkata, untuk tempoh sebulan, majikan yang layak akan menerima subsidi upah berjumlah RM600 bagi setiap pekerja mereka yang bergaji kurang RM4,000.

“Selain itu, had 200 pekerja bagi setiap permohonan akan ditingkatkan kepada 500 pekerja. Inisiatif ini melibatkan peruntukan tambahan sebanyak 1 bilion ringgit yang dianggar memanfaatkan 250,000 majikan yang menggaji lebih 2.6 juta pekerja,” katanya.

Tambahnya, bagi merancakkan semula jualan kenderaan penumpang yang terjejas akibat daripada wabak Covid-19, Putrajaya turut bersetuju untuk mengumumkan pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang jenis pemasangan tempatan dan import siap sehingga 31 Disember.

“Kerajaan juga mengumumkan pelanjutan pengecualian ini sehingga 30 Jun 2021. Saya berharap langkah ini akan terus memacu momentum perkembangan sektor automotif,” katanya.

Manakala, menurut Muhyiddin, bagi peminjam PTPTN yang terjejas akibat wabak Covid-19 dan bencana banjir, mereka boleh memohon moratorium bayaran balik pinjaman PTPTN selama tiga bulan dengan permohonan penangguhan ini boleh dibuat sehingga 31 Mac depan.

“Bagi terus menyokong golongan usahawan dan perniagaan menjana pendapatan melalui jualan dalam talian atau platform e-dagang, kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaan Kempen e-Dagang PKS dan PKS Mikro dan kempen Shop Malaysia Online dengan jumlah peruntukan RM300 juta,” katanya.

Muhyiddin berkata, Putrajaya juga bersetuju memberikan diskaun khas bil elektrik sebanyak 10% bagi tempoh Januari hingga Mac ini kepada enam sektor perniagaan di seluruh negara.

“Ini meliputi pengendali hotel, taman tema, pusat konvensyen, pusat beli-belah, pejabat syarikat penerbangan tempatan serta agensi pengembaraan dan pelancongan.

“Di samping itu, rebat elektrik diberikan kepada semua pengguna TNB, domestik dan bukan domestik, pada kadar 2 sen setiap kilowatt sejam, iaitu bersamaan penurunan bil elektrik sehingga 9% bagi tempoh 6 bulan mulai 1 Januari hingga 30 Jun depan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.