Pelajar berdepan risiko kesihatan mental, penderaan susulan penutupan sekolah, kata persatuan

Pelajar berdepan risiko kesihatan mental, penderaan susulan penutupan sekolah, kata persatuan

Faktor kesihatan pelajar wajar diberi perhatian berat, bukan hanya risiko jangkitan Covid-19.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan Noor Azimah Rahim berkata, walaupun sebilangan pelajar berjaya dengan pembelajaran atas talian, tetapi kaedah itu sememangnya mencabar.
PETALING JAYA:
Persatuan ibu bapa berkata, keputusan kerajaan menutup sekolah yang melibatkan sejumlah besar pelajar akan memberi risiko kepada mereka.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) Noor Azimah Rahim berkata, pelajar berkemungkinan berdepan masalah seperti kesihatan mental, kemerosotan sosial, sumbang mahram dan penderaan rumah tangga.

“Dengan anak-anak terkurung di rumah yang digandakan dengan keadaan rumah yang sempit misalnya bermungkinan mendedahkan mereka kepada risiko itu.

“Faktor kesihatan ini wajar diberi perhatian berat, bukan hanya risiko jangkitan Covid-19 sahaja,” katanya kepada FMT.

Noor Azimah Rahim.

Sesi persekolahan sebelum ini dijadualkan bermula pada 20 Jan, namun Kementerian Pendidikan (KPM) kemudiannya mengumumkan bahawa hanya pelajar yang bakal menduduki peperiksaan utama seperti SPM dan STPM dikehendaki ke sekolah mulai tarikh itu.

Pelajar lain yang tidak ke sekolah akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Azimah berkata, walaupun sebilangan pelajar berjaya dengan pembelajaran atas talian, tetapi kaedah pembelajaran itu sememangnya mencabar.

Dalam pada itu katanya, sebelum ini KPM memaklumkan bahawa keputusan berkait sesi sekolah dibuat dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM).

Bagaimanapun beliau berkata, rancangan pembukaan sekolah baru-baru ini dilihat tidak meneliti semasak-masaknya perangkaan jangkitan Covid-19 yang dijangka menaik hingga menyebabkan keputusan itu ditarik balik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.