3 rakan tetak lelaki sampai mati didakwa

3 rakan tetak lelaki sampai mati didakwa

Mahkamah menetapkan 18 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan laporan kimia dan bedah siasat mangsa diperoleh.

N Avinesh Sarma, 21, S Linggeshwaran, 23 dan P Sivaraman, 33, dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ipoh selepas didakwa membunuh seorang lelaki menggunakan parang di ladang Tanjung Rambutan, 31 Dis lalu.
IPOH:
Tiga rakan didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh seorang lelaki dengan menetak mangsa menggunakan parang Disember lalu.

N Avinesh Sarma, 21, S Linggeshwaran, 23 dan P Sivaraman, 33 bersama dua lagi yang masih bebas dituduh melakukan perbuatan itu antara 7.40 malam hingga 8.45 malam dalam hutan berhampiran kuil di ladang Tanjung Rambutan 31 Dis lalu.

Ketiga-tiga mereka didapati dengan sengaja melakukan bunuh dengan menyebablan kematian Arun Krishnan dengan menggunakan parang dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendali timbalan pendakwa raya Fatimah Hannah Abd Wahab di hadapan majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Shahrul Nizam Mohd Rabi dan C Kaladevi.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan laporan kimia dan bedah siasat mangsa diperoleh.

Pada 1 Jan lalu media melaporkan, seorang penjenayah dikehendaki yang mempunyai 12 rekod lampau termasuk dua kes berkaitan bunuh ditemui mati dengan beberapa kesan tetakan di badan dan tangan di kawasan belukar berhampiran sebuah kuil di Tanjung Rambutan.

Mayat lelaki berusia 34 tahun itu ditemui orang awam yang ingin memikat burung di kawasan berkenaan kira-kira 11.30 pagi dalam keadan mengerikan dengan pergelangan tangan hampir putus.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.