
Berita pemergian Salleh, 91, dimaklumkan oleh ahli keluarganya menerusi catatan di Facebook.
“Dengan amat dukacita ayahanda kami, Salleh Abas, kembali ke rahmatullah pada 3.20 pagi Sabtu, 16 Januari,” kata catatan itu.
Salleh meninggalkan isteri, Junaidah Wan Jusoh, dan lima anak serta 26 cucu.
Anaknya ketika dihubungi Bernama mengesahkan Salleh meninggal dunia akibat pneumonia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim di Jalan Pusara, Kuala Terengganu pada 10.40 pagi tadi, bersebelahan kubur isteri pertamanya, Azimah Mohd Ali, yang meninggal dunia pada 2016, seperti yang diwasiatkan Salleh.
Khamis lalu media melaporkan Salleh disahkan positif Covid-19 dan dirawat di ICU Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan berada dalam keadaan stabil.
Salleh yang dilahirkan di Kampung Raja, Besut menjadi ketua hakim negara pada 1984 hingga 1988, dan pernah menjadi ADUN Jertih atas tiket PAS pada 1999.
Beliau menjadi majistret di Kota Bharu, Kelantan dan kemudian penolong pendakwa raya di ibu negara selepas pulang daripada pengajian undang-undang di Universiti Wales, United Kingdom pada 1957.
Beliau kemudian menjadi penasihat undang-undang dan penolong pendakwa raya untuk Negeri Sembilan dan Melaka sekembalinya daripada mengaji undang-undang antarabangsa dan perlembagaan di Universiti London pada 1962.
Setahun kemudian, beliau kembali ke Kuala Lumpur dan menyandang berbagai-bagai jawatan bawah peguam negara, dan akhirnya dilantik sebagai peguam cara negara.
Salleh juga pernah bertugas sebagai pendakwaraya, dilantik sebagai hakim pada 1984 dan menjadi presiden Mahkamah Agung yang terakhir pada 1988.
Mahkamah Agung kini dikenali sebagai Mahkamah Persekutuan dan jawatan itu pula ketua hakim negara.
Salleh yang juga seorang daripada tokoh yang membantu mendraf Rukun Negara pada 1970.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad, dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Salleh.
“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti dan jasa Allahyarham kepada masyarakat dan negara, serta menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada negara,” menurut kenyataan di Facebook Istana Negara hari ini.