Rekod baru 4,029 kes Covid-19, 8 kematian

Rekod baru 4,029 kes Covid-19, 8 kematian

Selangor terus merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 1,466 kes.

PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) mencatatkan 4,029 kes Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu, kali pertama jumlah jangkitan melebihi paras 4,000 dan memadam rekod 3,337 kes yang dilaporkan Khamis lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lapan kematian dilaporkan hari ini, menjadikan keseluruhan 594 pesakit terkorban akibat virus itu.

Beliau berkata, seramai 2,148 pesakit sembuh, menjadikan 117,375 kes sembuh daripada keseluruhan 155,095 kes Covid-19 yang dilaporkan di Malaysia.

Katanya, terdapat 37,126 kes aktif dengan 79 daripada 206 pesakit di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada jumlah kes baru itu, hanya lapan kes import dan baki 4,021 kes penularan tempatan membabitkan 2,711
warganegara serta 1,310 warga asing.

Hisham berkata, Selangor terus mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 1,466 kes, di mana 1,161 kes (79.2%) daripada kluster dan saringan kontak rapat.

Ia diikuti Johor (719), Sabah (449), Kuala Lumpur (347), Negeri Sembilan (214), Kedah (195), Kelantan (141), Pulau Pinang (120), Terengganu (80), Sarawak (69), Pahang (65), Perak (54), Melaka (44), Putrajaya (35), Labuan (17) dan Perlis (14).

“Sebanyak 110 kes (2.7%) yang dilaporkan berkaitan kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara membabitkan kluster Penjara Jalan Harapan (40), Tembok Nanas (39), Tembok Gajah (15), Damai Pelangi (9), Pagar Siput (4), Tembok Kemus (2) dan Pagar Bentong (1),” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, enam warganegara dan dua warga asing meninggal dunia dalam tempoh 24 jam lalu, dengan empat daripadanya di Sabah serta masing-masing satu kematian di Selangor, Perak, Pahang dan Kuala Lumpur.

Katanya, semua kecuali seorang pesakit itu mempunyai latar belakang penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan jantung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.