
Perniagaan di negeri yang dikenakan perintah kawalan pergerakan (PKP) hanya dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 8 malam.
Keputusan itu turut merangkumi perniagaan dalam industri makanan dan minuman serta penghantaran makanan, pandu masuk dan restoran.
Restoran, kedai kopi dan kedai makan hanya dibenarkan menawarkan perkhidmatan bawa pulang.
Pengasas bersama DeliverEat, Tan Suan Sear berharap kerajaan akan mempertimbangkan semula waktu perniagaan memandangkan ramai rakyat Malaysia yang bekerja secara syif.
Beliau berkata: “8 malam terlalu awal untuk ditutup. Sekiranya boleh, saya harap kerajaan dapat melanjutkannya hingga jam 9 malam.”
Tambahnya ramai orang yang bekerja secara syif, seperti polis, tentera dan bomba.
“Sukar bagi mereka (untuk mendapatkan makanan). Dengan keputusan jam 8 malam, sekarang, restoran sudah mula berkemas untuk tutup kedai bermula jam 7 malam, ” tambahnya.
Selangor, Pulau Pinang, Melaka, Johor, Sabah, Kelantan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya dikenakan sekatan di bawah PKP, dengan hanya perkhidmatan perlu dan lima sektor ekonomi dibenarkan terus dibuka.
Presiden Persatuan Pemilik Restoran India Malaysia J Govindasamy berkata, ramai ahli persatuan itu mengeluh mengenai waktu tutup pada jam 8 malam.
Beliau berkata, ramai pelanggan yang sering mengunjungi 2,000 kedai persatuan itu menyuarakan kebimbangan kerana tidak dapat membeli makan malam pada waktu mereka pulang ke rumah selepas bekerja.
“Pada waktu mereka sampai di rumah selepas melalui kesesakan lalu lintas, sudah terlambat untuk memesan makanan kerana restoran tutup pada jam 8 malam.
“Jika boleh, saya harap kerajaan dapat memanjangkan waktu (tutup) hingga 10 malam,” tambahnya.
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia juga meminta pihak berkuasa menimbangkan keperluan barisan hadapan.
Timbalan Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, “Mereka bekerja 24 jam, bukan hanya jam 9 hingga 5 … (jadi) saya harap kita dapat mencari jalan untuk membantu mereka juga,” katanya ..
Bagaimanapun Ameer Ali Mydin, pengarah urusan rantaian pasar raya besar Mydin, berkata, waktu operasi sekarang adalah wajar.
“Objektif PKP adalah untuk memastikan orang ramai berada di rumah. Kerajaan sudah cukup fleksibel, peraturan sekarang lebih fleksibel daripada PKP pertama (pada Mac hingga Mei tahun lalu).
“Kerajaan tidak dapat memenuhi kehendak dan keinginan semua orang. Saya rasa jam 8 malam sesuai kerana kebanyakan orang mengikut waktu pejabat.
“Masyarakat harus sedar bahawa sebab kita perlu melalui ini sekali lagi adalah kerana ramai yang tidak mengikut peraturan semasa PKPB dan PKPP , ” katanya merujuk kepada sekatan yang lebih ringan selepas Mei tahun lalu.