Usahawan P Pinang jutawan terbaru Malaysia di kala pandemik

Usahawan P Pinang jutawan terbaru Malaysia di kala pandemik

Anak seorang pemandu teksi itu berkata dia masih menjalani kehidupan yang sederhana.

Tan Eng Kee adalah pengasas bersama dan ketua pegawai eksekutif Greatech Technology yang menghasilkan peralatan automasi industri berpangkalan di Pulau Pinang. (Gambar Greatech)
PETALING JAYA:
Seiring dengan pembuat sarung tangan, seorang usahawan dari Pulau Pinang melihat sahamnya meningkat di kala wabak sedang menular, menjadikannya jutawan terbaru di Malaysia dengan nilai bersih lebih USD1 bilion (RM4 bilion).

Tan Eng Kee adalah pengasas bersama dan ketua pegawai eksekutif Greatech Technology, sebuah firma berpangkalan di Pulau Pinang yang menghasilkan peralatan automasi industri untuk pelbagai pengeluar, daripada pembuat alat perubatan sehingga pengeluar tenaga hijau.

Forbes melaporkan firma itu, yang ditubuhkan pada 1997, menyaksikan sahamnya melonjak 330% tahun lalu berikutan kenaikan permintaan kenderaan elektrik dan tenaga boleh diperbaharui. Lebih separuh daripada perniagaannya datang daripada pasaran asing, terutama Amerika Syarikat.

Tetapi Tan, yang dikenali sebagai EK oleh rakannya, mempunyai permulaan yang sederhana dan tidak pernah bercita-cita untuk menjadi jutawan.

“Saya sama sekali tidak menjangkakan ini. Saya mempunyai kehidupan yang sederhana. Saya datang ke pejabat, buat kerja dan saya pulang. Tidak ada yang berubah kerana ini,” katanya dalam temuramah dengan Forbes.

Membesar dalam sebuah keluarga yang miskin di Pulau Pinang dan sebagai satu-satunya anak lelaki daripada empat beradik, dia terpaksa memikul lebih banyak tanggungjawab pada usia muda selepas kematian bapanya, seorang pemandu teksi.

Bapanya meninggal dunia ketika Tan berusia 13 tahun, dan pada usia 16 tahun, dia sudah bekerja sambilan di kedai roti.

Sementara memikul pelbagai tanggungjawab, dia memperoleh sijil kejuruteraan mekanikal pada 1991, kemudian bekerja sebagai perancang pengeluaran di sebuah syarikat perkakas ketepatan.

Dua tahun kemudian, dia memutuskan untuk mengambil jalannya sendiri dengan menubuhkan Greatech (M) Sdn Bhd, selepas meminjam RM10,000 daripada ibunya dan meminta bantuan rakan untuk memulakan perniagaan, termasuk rakan sekolahnya Khor Lean Heng. Perniagaan itu menumpukan kepada pembuatan komponen peralatan kejuruteraan.

Pada 1997, dia memulakan sebuah syarikat lain dengan Khor, yang dikenali sebagai Greatech Integration yang menghasilkan peralatan separa automatik dan automatik untuk industri elektronik pengguna.

Walaupun Greatech (M) Sdn Bhd terpaksa ditutup pada 2001, Greatech Integration terus tumbuh dengan mantap, berkembang menjadi perniagaan semikonduktor pada 2002 dan kemudian dalam bidang tenaga suria pada 2010. Kini, Khor berkhidmat sebagai ketua pegawai operasi Greatech.

Walaupun sekatan disebabkan wabak menyebabkan kegiatan Greatech terencat sementara, Tan berkata, semua kilang syarikat itu beroperasi dan perniagaannya sedang bersedia untuk pertumbuhan selanjutnya.

Pada Oktober, Public Investment Bank mengunjurkan pendapatan Greatech meningkat pada kadar terkumpul 47.5% dalam masa tiga tahun ke depan, menggambarkan syarikat itu sebagai berada di kedudukan yang baik untuk menunggang pertumbuhan dalam segmen solar fotovoltaik.

Greatech juga telah membuka pejabat pertamanya di AS pada suku ketiga tahun lalu, sebuah fasiliti ujian di Michigan, dengan beberapa lagi bakal ditubuhkan pada suku ketiga tahun ini di Illinois dan Arizona.

Syarikat itu juga merancang untuk membuka pejabat di Jerman akhir tahun ini dan untuk terus berkembang ke Eropah dan India.

“Kami akan mendapat manfaat daripada kepentingan yang diberikan pada ESG (persekitaran, sosial dan pemerintahan) ketika syarikat melangkah maju ke arah mencapai status karbon-sifar,” kata Tan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.