
Ini susulan kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob semalam bahawa hospital swasta yang enggan menerima pesakit Covid-19 boleh didenda sehingga RM5 juta malah pengurusan boleh dikenakan hukuman penjara.
Katanya, pilihan itu belum dipertimbangkan, namun boleh dikuatkuasakan ketika darurat.
Dalam kenyataan, Presiden MMA Dr Subramaniam Muniandy berkata, kumpulan itu menganggap kenyataan seperti itu sebagai “amat membimbangkan” dan berkata darurat sepatutnya boleh digunakan sebaiknya untuk memupuk kerjasama serta mengelak birokrasi seterusnya mempercepatkan pelaksanaan.
“Ordinan darurat sepatutnya digunakan dengan lebih bertanggungjawab dan bukan untuk membuli atau memaksa sektor kesihatan swasta bagi menggunakan sumbernya.
“Ancaman dan pembulian bukan caranya, dan ia sudah pasti tidak akan dihormati rakyat.
“Sebaliknya kerajaan patut berbincang semula dan, secara muktamad, demi negara tercinta dan rakyat, betul-betul melaksanakan pendekatan ‘seluruh masyarakat’ dan ‘seluruh kerajaan.’
Katanya, sektor swasta telah menawarkan bantuan sepanjang pandemik dan mengalu-alukan kerjasama dengan kerajaan.
“Kerajaan patut menyediakan garis panduan dan arah tuju jelas dalam polisi untuk sektor kesihatan swasta, bukannya mengancam mendenda hospital swasta yang tidak bekerjasama menguruskan pandemik.
“Mereka patut berhenti bertindak cuba mengawal orang selepas gagal mengekang pandemik, sebaliknya mula mendengar maklum balas selain menganggap kesihatan swasta sebagai rakan kerja utama.”
Subramaniam menggesa kerajaan berusaha untuk lebih memahami ekosistem kesihatan swasta sebelum membuat polisi bagi mengelak isu berbangkit ketika pelaksanaannya serta membazirkan sumber.