
Beliau berkata, majlis akad nikah itu hanya boleh dilakukan di PAID dengan ditemani enam orang saja iaitu wali, jurunikah, pengantin lelaki dan pengantin perempuan serta dua saksi lelaki.
“Tempoh majlis akad nikah juga hendaklah dilaksanakan dalam 20 minit sahaja termasuk khutbah nikah dan bacaan taklik, di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata, pasangan pengantin dari kawasan atau negeri diisytiharkan zon merah juga disyaratkan menjalani ujian saringan Covid-19 dengan keputusan negatif dalam tempoh tiga hari sebelum majlis akad nikah diadakan di Melaka.
Pendaftar kanan nikah cerai rujuk mempunyai kuasa untuk menolak permohonan mengadakan majlis akad nikah jika tatacara ditetapkan tidak dipatuhi pemohon atau bakal pengantin.
“Bagi semua permohonan pendaftaran perceraian dan rujuk yang benar-benar perlu sahaja boleh dihantar ke PAID melalui janji temu yang dibuat lebih awal.
“Dokumen yang lengkap hendaklah dibawa bersama dan PAID berhak menolak permohonan sekiranya tidak lengkap manakala perkhidmatan runding cara kekeluargaan secara dalam talian atau pertanyaan umum berkaitan perkahwinan, penceraian dan rujuk amat digalakkan dalam tempoh PKP ini,” katanya.