Warisan tidak sependapat dengan Upko berhubung cadangan Jemaah Menteri bayangan

Warisan tidak sependapat dengan Upko berhubung cadangan Jemaah Menteri bayangan

Presiden Upko, Wilfred Madius Tangau sebelum ini mencadangkan agar Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim mewujudkan kabinet bayangan.

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Pemuda Warisan, Ismail Ayub, berkata tiada keperluan untuk pembangkang mewujudkan Jemaah Menteri bayangan seperti mana dicadangkan Presiden Upko, Wilfred Madius Tangau, semalam.

Katanya, rakyat kini masih berdepan dengan kesusahan akibat pandemik Covid-19 dan adalah lebih baik setiap wakil rakyat memberi fokus untuk membantu rakyat faham aspek ekonomi dan kesihatan.

“Ini bukan masanya untuk terus berpolitik ketika rakyat dilanda kesusahan dan dalam berdepan dengan pandemik Covid-19 serta kelemahan pentadbiran kerajaan sekarang, pembangkang perlu memainkan peranan semak dan imbang.

“Masih banyak kelemahan yang telah dilakukan kerajaan Perikatan Nasional (PN), contohnya, bilakah vaksin Covid-19 akan sampai? Negara-negara jiran kita sudah pun mula menyuntik vaksin kepada rakyat mereka dan apakah SOP yang digariskan oleh kerajaan berkenaan dengan kumpulan sasaran penerima pertama vaksin tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Ismail Ayub.

Ismail berkata, masalah yang dihadapi rakyat bukan hanya tertumpu kepada vaksin Covid-19 akan tetapi ramai hilang pekerjaan dan perniagaan yang ‘gulung tikar’.

“Apakah usaha kerajaan untuk membantu? Begitu juga dalam sektor ekonomi, apakah langkah PN untuk memulihkan ekonomi negara yang merundum?

“Kerajaan perlu merancang dengan teliti dan memberi keutamaan kepada perkara-perkara yang betul-betul memberi manfaat kepada rakyat yang terjejas dan bukannya projek-projek mega yang menelan belanja berbillion ringgit di saat rakyat menderita, kita bukanlah menidakkan pembangunan, tapi kita tidak perlukan projek-projek mega sewaktu pandemik ini,” katanya.

Beliau berkata, sudah tiba masanya untuk Malaysia ditadbir oleh wajah baharu dan pemimpin muda yang mampu membina negara yang lebih baik.

Katanya, pembangkang perlu memberi gambaran jelas kepada rakyat bahawa kerajaan baharu nanti dibarisi pemimpin yang memperjuangkan kesatuan dan mempunyai visi jelas mentadbir negara dengan amalan pentadbiran bersih berbanding terdahulu.

“Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal ada menjelaskan ketika ditemubual oleh ISEAS-Yusof Ishak Institute mengenai perkara ini bahawa Malaysia tidak boleh lagi dikawal oleh pemimpin yang sama.

“Sudah tiba masanya Malaysia keluar dari cara pemikiran lama, cukup dengan Anwar, cukup dengan Mahathir.

“Kita tidak boleh menafikan pembangunan yang dibawa pemimpin terdahulu namun kita perlu keluar dari kepompong pemikiran lama dan bergerak ke depan sebagai satu bangsa Malaysia yang ditadbir berlandaskan perlembagaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.