Malaysia terima kapal misi pesisir kedua dari China

Malaysia terima kapal misi pesisir kedua dari China

Kapal dinamakan Sundang itu akan belayar ke Malaysia pada minggu ketiga Januari

PETALING JAYA:
Tentera laut mengumumkan menerima kapal misi pesisir (LMS) kedua dari China, hari ini.

Kapal dinamakan Sundang itu adalah yang kedua daripada empat LMS bawah kontrak ditandatangani antara Putrajaya dengan China Shipbuilding & Offshore International Co Ltd pada 2017.

Dalam kenyataan, cawangan komunikasi strategik TLDM berkata, kapal itu akan belayar ke Malaysia pada minggu ketiga bulan ini dan kelak akan ditauliahkan di pangkalannya di Kota Kinabalu.

“Jawatankuasa tiga wakil kerajaan diketuai Abdul Hadi Tan Abdullah, ketua projek LMS TLDM, telah memeriksa dokumen serta ujian fizikal kapal itu, dan menyertai demonstrasi keupayaannya,” katanya.

“Sundang berjaya lulus beberapa ujian di pelabuhan dan lautan sebelum diserahkan kepada kerajaan.”

Pembinaan Sundang bermula pada 23 Okt 2018 di Wuhan, China, dan dilancarkan pada 12 Julai 2019. Putrajaya sepatutnya menerima kapal itu pada 12 April tahun lalu namun kerja pembinaan ditangguhkan sehingga Januari disebabkan pandemik Covid-19.

Projek itu dimulakan semula pada 18 Mei 2020 dan anak kapal Sundang dihantar ke Qidong, Shanghai pada 16 Okt untuk meneruskan kerja atas kapal.

Dua lagi kapal terakhir akan diserahkan pada September dan November tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.