
Terletak di bangunan Pustaka Negeri Sarawak di sini, pusat berkenaan beroperasi setiap Isnin hingga Sabtu mulai pukul 8 pagi hingga 4 petang, tanpa caj dikenakan.
Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Sarawak Dr Annuar Rapaee berkata orang ramai boleh terus hadir membuat saringan tanpa melakukan tempahan awal.
“Orang ramai yang hadir juga tidak perlu parkir kereta mereka, cuma pandu lalu saja, macam perkhidmatan pandu lalu biasa. Ini lebih mudah dan dapat membantu mengurangkan masalah kesesakan berikutan kebanjiran ramai orang.
“Makin banyak pusat dibuka, makin banyak ujian Covid-19 dapat dilakukan dan makin awal kesan kes-kes positif,” katanya.
Tiga pusat saringan sedia ada sebelum ini iaitu di Klinik Kesihatan Lanang, Klinik Kesihatan Sibu Jaya dan Stadium Tertutup Sibu dibuka sejak 10 Jan.
Kos saringan di keempat-empat pusat ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.
Menurut Dr Annuar, sehingga kini seramai kira-kira 4,000 orang telah menjalani saringan di ketiga-tiga tempat.
Sehubungan itu, Dr Annuar yang juga ADUN Nangka memohon mereka yang mempunyai gejala atau menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19 untuk mengambil peluang hadir ke mana-mana pusat ini untuk menjalani saringan.
Semalam, Sibu merupakan kawasan paling tinggi kes positif harian Covid-19 di Sarawak dengan mencatatkan 92 kes, diikuti Sebauh (20); Kanowit (12); (Miri (11); Beluru (3); Kuching (3); Dalat (2); Saratok (1); Bintulu (1) dan Limbang (1).