
Pengerusi EcoWorld Liew Kee Sin dalam kenyataan berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya menilai cadangan dan pelan perniagaan, serta mempertimbangan suasana perniagaan semasa ketika pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) dan darurat.
Katanya, disebabkan pembatalan itu EcoWorld akan bergerak aktif untuk mencari syarikat korporat lain yang menurutnya dapat melengkapkan strategi dan pelan pertumbuhan syarikat berkenaan.
“Ia juga akan membolehkan kami untuk fokus kepada pelan perniagaan kumpulan kami bagi kewangan tahun 2021, termasuklah sasaran jualan sebanyak RM2.875 buat EcoWorld, 25% lebih tinggi dari hasil jualan yang direkodkan pada 2020, iaitu RM2.3 bilion.
“Mewakili ahli lembaga pengarah, saya berterima kasih kepada UEM Group Berhad atas jemputannya untuk penggabungan bersama UEM Sunrise. Sudah tentu kami sentiasa terbuka bagi sebarang kemungkinan untuk bekerjasama dengan UEM Sunrise di masa hadapan,” katanya.
Oktober lalu, UEM Sunrise memaklumkan menerima surat cadangan daripada syarikat induk, UEM Group Berhad, mencadangkan ia bergabung dengan EcoWorld. UEM Group merupakan anak syarikat Khazanah Nasional Berhad.
Jika penggabungan itu berjaya, ia dijangka membentuk salah satu syarikat pembangunan hartanah terbesar di Malaysia, dengan unjuran nilai pembangunan kasar RM173.2 bilion dan aset tanah melebihi 17,000 ribu ekar dalam negara.
Cadangan penggabungan itu dibantah bekas timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan Raja Kamarul Bahrin. Baginya, penggabungan itu menimbulkan pelbagai persoalan, susulan peletakan jawatan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise Bhd, Anwar Syahrin Abdul Ajib.
Malah, ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan turut mendesak kerajaan menghentikan langkah penggabungan antara syarikat hartanah UEM Sunrise dengan EcoWorld, serta turut meminta penjelasan apakah kepentingan Bumiputera masih akan dilindungi.