Cegah pemberhentian pekerja semasa PKP, seru kesatuan

Cegah pemberhentian pekerja semasa PKP, seru kesatuan

MTUC dan NUBE juga menyeru kerajaan mengambil langkah-langkah membantu pekerja B40.

MTUC menerima banyak aduan pemberhentian pekerja sewaktu PKP kali pertama Mac lalu
PETALING JAYA:
Beberapa kesatuan meminta kerajaan mencegah majikan memberhentikan pekerja dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sebelum ini mengusulkan supaya peraturan kecemasan pekerjaan dilaksanakan untuk menghentikan syarikat memecat pekerja dan mengurang faedah.

“Sehingga kini, Kementerian Sumber Manusia belum memberikan maklum balas mengenai cadangan itu,” katanya.

MTUC menerima banyak aduan pemberhentian pekerja sewaktu PKP kali pertama Mac lalu dan menjangkakan lebih banyak yang akan kehilangan pekerjaan kali ini.

“MTUC berharap kerajaan akan memikirkan langkah-langkah untuk membantu pekerja yang terjejas, seperti memberi subsidi bil elektrik dan internet atau mengembalikan moratorium pinjaman atau bantuan apa sekalipun untuk pekerja B40 dan M40,” katanya.

Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Bank Nasional (NUBE), J Solomon, berkata kerajaan mesti mengeluarkan “amaran tegas” berkenaan pemberhentian pekerja.

“(Ianya harus) diikuti dengan pelaksanaan tegas undang-undang yang mewajibkan majikan menjaga pekerja dan tidak menggunakan PKP baharu untuk mengurangkan tenaga kerja,” katanya dalam sebuah kenyataan lain.

Solomon berkata, kerajaan juga harus memastikan pekerja B40 dijaga, terutama mereka yang dibayar gaji harian, dan meminta agar bantuan tunai segera diagihkan kepada pekerja.

Beliau juga menggesa kerajaan menghebahkan apa-apa bantuan yang diberikan kepada syarikat supaya orang ramai dapat menilai sama ada mereka benar-benar layak mendapat bantuan.

“Kami tahu ramai majikan yang tidak bertanggungjawab dalam industri pelancongan dan perhotelan yang meraih keuntungan berbilion-bilion selama bertahun-tahun mengambil tindakan tidak bertanggungjawab dengan memberhentikan pekerja ketika wabak melanda sejak awal 2020.

“Sebuah jawatankuasa bebas yang dianggotai orang awam tanpa ikatan politik harus dibentuk untuk mengawasi subsidi kerajaan dan memastikan ianya digunakan untuk tujuan yang betul,” katanya.

PKP berkuatkuasa di Pulau Pinang, Selangor, Sabah, Melaka, Johor dan wilayah-wilayah persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan mulai hari ini hingga 26 Jan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.