
Pengarah Eksekutif Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) Shaharuddin Mohamad Saaid berkata, PKP yang menyekat perjalanan itu akan menyebabkan lebih ramai pekerja hotel diberhentikan kerja atau dipaksa cuti tanpa gaji.
Malah, lebih banyak hotel mungkin terpaksa gulung tikar, kerana PKP dan PKPB kali ini akan memburukkan lagi kerugian antara RM7 billion hingga Rm8 bilion yang ditanggung industri itu tahun lalu, kata beliau.
“Sektor perhotelan sudah pun nyawa-nyawa ikan sebelum ini akibat PKP selama 9 bulan tahun lalu. Pertambahan PKP dan PKPB selama dua minggu buat permulaan tahun ini, sememangnya memberi kesan lebih teruk kepada sektor perhotelan.
“Ini kerana kita sudah pun keluarkan perbelanjaan operasi tetapi pendapatan merudum teruk,” katanya kepada FMT.
Beliau kesal kerajaan melaksanakan PKP tanpa merujuk kepada kumpulan perniagaan terutama daripada sektor pelancongan,sambil menyifatkan tindakan kerajaan itu seolah-olah “mahu membunuh sektor perhotelan secara senyap.”
“Sebelum umumkan PKP, patutnya rujuk dahulu kumpulan perniagaan seperti kami untuk dapatkan cadangan. Dia (kerajaan) buat macam ini seolah-olah nak bagi mati sektor perlancongan.
Beliau juga mempersoalkan kerajaan memperkenalkan PKP secara total tanpa mengambil kira trend jangkitan Covid-19.
“Sebelum ini, ada dengar kluster hotel? Tidak ada, sebab kita orang berniaga memang jaga SOP betul-betul,” katanya.
Shaharudin berkata PKP terbaru akan memaksa lebih banyak pemilik hotel menutup operasi kerana tidak berupaya menanggung kerugian berterusan.
“Kebanyakan hotel di Lembah Klang berharap kepada penganjuran persidangan dan pameran, namun jika acara ini tidak boleh diadakan lagi, sumber mana lagi hotel ini mahu dapat pendapatan?” soalnya.
Justeru, Shaharuddin berkata, jika PKP ini disambung lagi, pihaknya berharap kerajaan memberi kelonggaran dengan melaksanakan PKP Diperketatkan (PKPD) di kawasan atau daerah yang kritikal sahaja.
“PKP tidak perlu sampai satu negeri, perlu ada kelonggaran. Kerajaan perlu tumpu daerah yang teruk terjejas dengan melaksanakan PKPD. Ini lebih adil untuk sektor perniagaan seperti kami,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mendesak kerajaan mempertimbangkan supaya Program Subsidi Upah (PSU) 3.0, iaitu bantuan kewangan RM600 bagi setiap pekerja dalam sektor pelancongan dan runcit dinaikkan antara RM1,000 hingga RM1,500 seorang.
Katanya, memorandum cadangan itu sudah diserahkan kepada Kementerian Kewangan pada Nov lalu, namun sehingga kini masih tiada jawapan.
“Gaji minimum ketika ini pun sudah RM1,200, subsidi RM600 mana cukup. Bukan semua orang bergaji RM1,200.
“Jadi kita minta kerajaan pertimbang subsidi mengikut kadar gaji pekerja berkenaan contohnya 30% hingga 50% daripada gaji kasar,” katanya.