Latihan berpusat secara kuarantin atlet negara diteruskan

Latihan berpusat secara kuarantin atlet negara diteruskan

Kementerian Belia dan Sukan juga meminta orang ramai mematuhi SOP bagi sektor sukan dan rekreasi di bawah perintah kawalan pergerakan.

Latihan pusat sepenuh masa atlet negara sedang berjalan di sekitar Lembah Klang dan Nilai, Negeri Sembilan menggunakan pendekatan secara kuarantin.
KUALA LUMPUR:
Latihan pusat sepenuh masa melibatkan atlet negara yang sedang berjalan ketika ini di beberapa tempat sekitar Lembah Klang dan Nilai, Negeri Sembilan yang menggunakan pendekatan secara kuarantin akan diteruskan dengan kawalan pergerakan yang lebih ketat.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan semalam memaklumkan ia melibatkan Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, Kompleks MSN Taman Keramat, Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan dan Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan.

Pihak kementerian turut meminta orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi sektor sukan dan rekreasi di kawasan yang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) serta Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi perutusan khas semalam memaklumkan, kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Pelaksanaan PKP berkenaan melibatkan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya), Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor dan Sabah.

Muhyiddin turut mengumumkan PKPB akan dilaksanakan di enam negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan, manakala PKPP di Perlis dan Sarawak.

Kesemua peraturan berkenaan akan berkuat kuasa selama dua minggu bermula esok hingga 26 Jan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.