
Hakim Rozina Ayob menangguhkan perbicaraan itu setelah mendengar keterangan 10 saksi pendakwaan dan menetapkan 2 Feb untuk menyambung perbicaraan.
“Sekiranya PKP tidak bersambung, anda dikehendaki hadir pada 2 Feb depan. Jika sebaliknya, saya perlu menanti arahan daripada ketua pendaftar mahkamah, tertakluk kepada makluman selanjutnya,” kata beliau.
Pada perbicaraan akan datang, pihak pendakwaan akan memanggil saksi ke-11, pengurus kanan pentadbiran dan kewangan di Yayasan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), Azriman Ridouan, 44, untuk memberi keterangan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Faridz Gohim Abdullah, Mohd Sophian Zakaria, Siti Noor Hafizan Zakaria, Maziah Mohaide, dan Abdul Rashid Sulaiman; manakala Bung Moktar dan isterinya diwakili peguam K Kumaraendran, M Athimulan, Ridha Abdah Subri, dan Ahmad Adha Amir Yasser.
Mahkamah sebelum ini menetapkan semalam hingga Jumaat untuk perbicaraan pada minggu ini.
Bung Moktar, 61, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bung Moktar, yang merupakan pengerusi bukan eksekutif Felcra pada ketika itu, dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Madhi Abdul Hamid, 38, menerusi Zizie di Public Bank cawangan Taman Melawati antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.
Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai untuk dirinya sebanyak RM335,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual Norlaili Ahmad Mokhtar, 42, bawah nama Zizie atas sebab yang sama. Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di tempat sama pada 19 Jun 2015.
Zizie, seorang pelakon, pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara yang sama, di tempat, tarikh dan masa yang sama.