
Muhyiddin dalam perutusan khas petang tadi berkata, kemudahan Kementerian Kesihatan tidak mampu lagi menampung lebih 2,000 kes baru sehari.
“Hospital Kuala Lumpur dan Pusat Perubatan Universiti Malaya mencapai 100% penggunaan katil di unit rawatan rapi, sementara di Sungai Buloh, ia telah mencapai 83%.
“Penggunaan katil ICU untuk pesakit Covid-19 di Perak, Selangor, Melaka, Terengganu dan Sarawak telah melampaui 70%.”
Beliau berkata, 15 hospital Covid-19 mencatatkan kadar penggunaan katil melebihi 70%.
“Pada saat ini, ada lebih 1,450 anggota perubatan di seluruh negara telah dijangkiti ataupun terpaksa menjalani kuarantin dan tidak dapat bertugas.”
Muhyiddin berkata, banjir di beberapa negeri dan peningkatan kes menyukarkan proses mobilisasi sumber antara negeri dan menambah jumlah katil ICU untuk pesakit kritikal.
“Sistem penjagaan kesihatan kita berada di tahap kritikal.”
Sehubungan itu, Muhyiddin mengumumkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Melaka, Johor dan Sabah selama dua minggu mulai Rabu ini.
PKP bersyarat pula dilaksanakan di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan, serta PKP pemulihan di Perlis dan Sarawak.