
Peguam Hasnan Hamzah berkata, hakim Vazeer Alam Mydin Meera, menetapkan tarikh itu selepas bertemu pihak terbabit di kamarnya bagi menguruskan kes.
“Pihak itu juga diminta untuk mengajukan afidavit lebih lanjut, jika perlu, dalam masa dua minggu bermula hari ini,” katanya kepada FMT.
Hasnan yang mewakili Ketua Pegawai Penguatkuasa Syariah Selangor dan Pegawai Pendakwa, Pegawai Undang-Undang Negeri Muhammad Haziq Hashim hadir bagi pihak kerajaan Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) manakala peguam Michael Cheah mewakili beberapa individu lain.
Pada 27 Ogos, tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Badariah Sahamid memerintahkan Mahkamah Tinggi untuk mengesahkan agama mereka yang terbabit.
Badariah, yang kini bersara, berkata jika sah mereka adalah pengikut mazhab Ahmadiyah, Mahkamah Syariah Selangor tidak mempunyai bidang kuasa terhadap mereka di negeri itu.
Katanya, jika terbukti mereka adalah pengikut mazhab itu selepas keluar dari Islam (murtad), mahkamah syariah berkuasa ke atas mereka.
Badariah, Zabariah Mohd Yusof dan Nor Bee Ariffin ketika mendengar rayuan daripada kerajaan Selangor dan pihak berkuasa agama, mengatakan maklumat dalam kad pengenalan mengenai status agama rakyat Malaysia bukan bukti muktamad agama seseorang.
Pada 6 Julai 2018, Vazeer memutuskan pihak berkuasa agama Selangor tidak mempunyai hak untuk menyekat aktiviti keagamaan jemaah Ahmadiyah, mazhab yang pada umumnya dianggap oleh umat Islam sebagai sesat.
Dua puluh rakyat Malaysia, lapan pencari suaka Pakistan, dua warga India dan seorang warga Indonesia menunaikan solat Jumaat pada 11 April 2014 di pusat komuniti di Batu Caves, Selangor.
Mereka mencabar JAIS kerana cuba menuduh mereka melakukan kesalahan syariah, dengan alasan pihak berkuasa Islam di Selangor tidak mengiktiraf pengikut Ahmadiyah sebagai orang Islam.
Kumpulan tersebut dimaklumkan, mereka tidak mendapat kebenaran bertulis untuk menggunakan premis tersebut, sebuah kedai di Dolomite Park, Batu Caves untuk tujuan yang hanya boleh dilakukan di dalam atau oleh sebuah masjid, bertentangan dengan Seksyen 97 Pentadbiran Enakmen Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.