
Beliau berkata, penarikan itu juga tidak menyentuh desakan untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) atau memberi sokongan kepada mana-mana pihak.
“Ekoran daripada pengumuman saya semalam, jujur saya nyatakan, keputusan saya tidak terpengaruh atau dipengaruh oleh mana-mana pihak. Saya buat seikhlas hati saya demi rakyat dan parti saya,” katanya di Facebook.
Sabtu lalu, Ahmad Jazlan yang merupakan Pengerusi Umno Kelantan menarik sokongan terhadap Muhyiddin Yassin, sekali gus menyebabkan kerajaan PN berpotensi hilang majoriti di Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Ahmad Jazlan berkata beliau bukan Ahli Parlimen pertama menarik sokongan terhadap kerajaan PN.
Katanya, beliau yang kedua selepas Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berbuat demikian.
“Saya juga menghormati memorandum daripada Badan Perhubungan Umno di empat peringkat negeri Kelantan yang menyarankan saya agar menarik sokongan.
“Sebelum sidang media dibuat, saya telah mengambil pandangan Badan Perhubungan empat peringkat dan saya telah memberi ruang seluas-luasnya kepada semua yang ingin membangkitkan apa-apa bantahan atau isu ingin diketengahkan,” katanya.
Ahmad Jazlan turut menyenaraikan sembilan sebab beliau menarik sokongan terhadap kerajaan PN, antaranya isu moratorium dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Beliau berkata, sebab lain seperti isu Covid-19 semakin teruk, pengangguran, ekonomi menguncup, isu Muhammad Adib Mohd Kassim yang masih belum terbela, wang Umno ditahan ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) diteruskan dan tidak dikembalikan, ahli Umno dicuri, pembelaan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) serta golongan berpendapatan sederhana (M40) tidak diberi perhatian.
Penarikan sokongan Ahmad Jazlan menyebabkan Muhyiddin kini berbaki 111 sokongan Ahli Parlimen, berbanding 109 Ahli Parlimen di pihak PH dan sekutu. Angka itu termasuk Ahmad Jazlan.
Kerajaan PN memerlukan 112 sokongan untuk meraih majoriti mudah di Dewan Rakyat yang mempunyai 222 kerusi.
Kematian dua Ahli Parlimen menyebabkan kerusi mereka masih kosong.
Ahmad Jazlan adalah ahli Umno kedua yang mengumumkan menarik sokongan terhadap Muhyiddin.