Kami tak pernah fikir, bincang sertai PN, kata Warisan

Kami tak pernah fikir, bincang sertai PN, kata Warisan

Setiausaha Agung Warisan Loretto Padua berkata parti itu tidak tahu motif sebenar dakwaan itu disebarkan sedangkan kerajaan PN sedang kucar-kacir.

Loretto Padua berkata, dakwaan Warisan akan menyertai PN disebarkan mungkin bertujuan menunjukkan kerajaan persekutuan pimpinan pakatan itu masih kukuh.
KOTA KINABALU:
Setiausaha Agung Warisan Loretto Padua menafikan dakwaan parti itu menyertai Perikatan Nasional (PN) seperti tersebar di media sosial hari ini.

Katanya, Warisan bukan saja tidak pernah membincangkan perkara itu, malah tidak pernah terfikir menyertai kerajaan yang diterajui PN.

“Tidak benar, itu fitnah kerana perkara ini tidak pernah dibincangkan, tidak pernah terfikir pun (menyertai PN). Presiden (Shafie Apdal) punya prinsip dan maruah.

“Saya tidak tahu kenapa mahu babitkan Warisan, sedangkan mereka (kerajaan PN) sekarang ini kucar-kacir,” katanya ketika dihubungi.

Loretto berkata, pihaknya tidak pasti motif sebenar dakwaan itu, mungkin untuk menunjukkan kerajaan PN masih kukuh.

“Mungkin mereka mahu buat supaya orang-orang tertentu nampak kerajaan ini (PN) masih utuh, itu saja yang kita boleh nampak, tapi saya tidak tahu apa motif mereka.”

Terdahulu, Ketua Pemuda Warisan Mohd Azis Jamman turut menafikan dakwaan itu di Facebook.

“Kenyataan yang tersebar bahawa Warisan sertai PN adalah palsu.”

Dakwaan Warisan akan menyertai PN tersebar selepas bekas setiausaha Umno Bandar Tun Razak, Zaharin Mohd Yasin membuat catatan di Facebook.

“Berita terkini. Warisan sertai PN. Kerajaan PN tidak tumbang,” dakwanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.