
Walaupun sudah menjadi kelaziman setiap tahun, namun arah aliran banjir yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini jauh berbeza.
Paras air yang naik mendadak dengan bawaan lumpur menunjukkan faktor manusia turut menjadi penyumbang kepada penambahan intensiti dan kesan risiko banjir.
Malah di media sosial, ramai netizen membuat kesimpulan bahawa banjir, terutama di Pahang adalah “banjir buatan”, kesan daripada tangan manusia yang memusnahkan alam untuk pembangunan dan mengaut keuntungan.
Isu penerokaan dan penebangan hutan yang tidak terkawal, khususnya di Pahang dan Kelantan pula seperti tiada kesudahan.

Tidak dapat dinafikan peranan hutan sebagai benteng kepada bencana alam seperti banjir, kemarau, tanah runtuh, pencemaran, ribut dan gangguan fizikal lain.
Penebangan hutan tidak terkawal di negara ini ternyata memberi impak besar bukan sahaja kepada manusia, tetapi juga alam sekitar.
Pensyarah Kanan Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman berkata, aktiviti pembalakan dan perubahan guna tanah hutan mendatangkan kesan buruk yang boleh mengundang kepada peningkatan kejadian bencana alam.
Hutan katanya, memainkan peranan yang sangat efektif dalam mengawal banjir dengan menutup permukaan tanah daripada hakisan hujan, menadah serta menyimpan limpahan air hujan.
“Hutan menjadi span semula jadi dalam menyerap air hujan. Ini kerana struktur hutan yang berakar menjalar dan tunjang dengan pelbagai saiz bertindak sebagai jaringan konkrit semula jadi untuk memegang struktur tanah.

“Apabila peranan ini dilenyapkan, maka tidak hairanlah ketika berlaku hujan lebat, banjir mudah terjadi,” katanya.
Menurut Haliza lagi, antara fungsi hutan adalah menahan atau mengurangkan had laju air hujan ke sungai dan seterusnya mengawal pergerakan air hujan ke laut.
Justeru katanya, proses pembangunan tidak terkawal meliputi penyahhutanan akan menyebabkan larian air hujan menjadi lebih cepat.
Ini sekali gus mengganggu proses semula jadi aliran air dan menyebabkan sesuatu lokasi di hilir akan mendapat air yang banyak secara tidak terkawal hingga menyebabkan banjir.
“Penyahhutanan hutan tanah tinggi yang berleluasa sekarang bukan sahaja membinasakan alam semula jadi, tetapi turut memusnahkan ‘hutan awan’ yang boleh mengakibatkan kehilangan sumber air kerana tanpa pokok sebahagian besar lembapan di udara akan kekal di tempatnya sehingga proses hujan berlaku,” katanya.
Isu penerokaan hutan bagi tujuan pembangunan bukan baharu berlaku dengan mengambil contoh di Pahang apabila Pusat Pencerapan Bumi mendapati sejak 1989, lebih 20% kawasan hutan di di negeri itu diterokai untuk pembangunan.
Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail sebelum ini berkata, 2,531 hektar hutan simpanan kekal di negeri itu diteroka secara haram membabitkan 0.165% daripada 43% keseluruhan hutan simpan kekal.
Setakat Jun 2019, terdapat 2.5 juta hektar hutan di Pahang dengan 1.56 juta hektar daripadanya kawasan hutan rizab simpanan kekal.

Sementara itu, Presiden Pelindung Khazanah Alam (PEKA) Shariffa Sabrina Syed Akil meminta pihak berkenaan berhenti menyalahkan fenomena alam, termasuk hujan lebat, sebagai punca berlakunya banjir besar sehingga mengakibatkan kemusnahan harta benda dan mengorbankan nyawa.
“Ini bukan disebabkan faktor hujan atau cuaca. Selama ini kita memang tahu negara kita mengalami monsun Timur Laut menjelang hujung tahun… kadangkala dengan taburan hujan yang tinggi, kadangkala sedikit.
“Banjir besar tidak akan berlaku sekiranya kita mempunyai hutan mencukupi untuk bertindak sebagai span yang akan mengawal aliran air.
“Namun yang berlaku kini hutan digondolkan menyebabkan air hujan terus mengalir bersama selut dan kayu sisa pembalakan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri supaya berhenti menjadikan hutan yang ada di negeri masing-masing sebagai mesin pengeluaran wang automatik (ATM) atau jalan pintas untuk mendapatkan wang.
Beliau juga menyarankan supaya pindaan undang-undang dilakukan di Parlimen dengan meletakkan kuasa pentadbiran tanah, khususnya di kawasan Banjaran Titiwangsa yang juga sendi kepada Semenanjung Malaysia di bawah kerajaan persekutuan bagi mengelakkan penerokaan hutan keterlaluan.
“Selagi pihak berkenaan rakus melakukan penerokaan, selagi itu rakyat akan terus berhadapan risiko bencana seperti banjir yang akhirnya mengorbankan nyawa, memusnahkan harta benda dan menimbulkan ancaman penyakit,” katanya.