
Mengulas pengumuman Menteri Sumber Manusia M Saravanan baru-baru ini, Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM) berkata, tidak praktikal bagi majikan untuk mendirikan pusat (kuarantin) mereka sendiri.
“Tidak tepat dalam hal itu. Ia sepatutnya ditangani oleh profesional kesihatan yang kompeten. Meletakkan kepercayaan kepada pihak yang tidak terlatih untuk menangani isu/penyakit berjangkit seperti ini,” kata Presiden FMM Soh Thian Lai kepada FMT.

Soh juga mengingatkan kerajaan bahawa keputusan itu boleh menyebabkan lebih ramai orang dijangkiti (Covid-19) dalam syarikat terbabit.
“Adalah salah untuk menyerahkan tanggungjawab ini kepada pihak yang tidak memiliki sumber mahupun latihan profesional untuk menjalankan operasi dan mengurus pusat kuarantin mereka sendiri. Ia akan berkesudahan dengan dahsyat dan bencana.
“Di samping itu, cukup sukar bagi majikan untuk menyewa rumah kepada pekerja asing kerana stigma berkaitan dengan penyebaran jangkitan dalam kalangan mereka.
“Majikan akan lebih terbeban dalam mendirikan pusat kuarantin,” jelasnya.
Kementerian Sumber Manusia dalam kenyataan semalam juga berkata, majikan dikehendaki menanggung kos perubatan dan menjaga kebajikan pekerja asing selama tempoh kuarantin itu.
Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berkata, kerajaan tidak sepatutnya membebankan majikan dengan lebih banyak syarat dan kos.

Pengarah eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan berkata, kos adalah kebimbangan utama majikan.
“Walaupun kami menghargai semua bantuan yang diberikan kepada majikan untuk mengekalkan perniagaan mereka, kerajaan perlu menanggung semua kos berkaitan Covid-19,” katanya.
Soh bersetuju dengan Shamsuddin dengan berkata, majikan menyumbang kepada PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial) untuk pekerja tempatan dan asing.
“Bagi kami, inilah waktunya PERKESO memberi sokongan yang diperlukan sewaktu syarikat berusaha untuk bertahan.
Setakat ini, kerajaan melalui PERKESO menanggung kos kit ujian saringan Covid-19 (RM60) hanya untuk ujian pertama yang dijalankan.
Semua kos lain yang berkaitan dengan perkhidmatan klinik/hospital perlu dibayar oleh majikan.