
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu sebanyak 2,446 kes adalah penularan tempatan, manakala bakinya jangkitan di luar negara.
“Bagi kes penularan dalam negara, 1,858 kes adalah warganegara Malaysia dan 588 kes bukan warganegara.
“Selangor melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 564 kes diikuti Sabah (409 kes) dan Negeri Sembilan (351 kes),” katanya dalam kenyataan.
Dengan itu, jumlah jangkitan Covid-19 direkodkan dalam negara kini 133,559 kes sementara kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 26,185 kes.
Hisham berkata, sehingga kini terdapat 177 kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), yang mana 82 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Dalam pada itu, 1,401 kes sembuh dilaporkan dalam tempoh sama.
“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan lima kes kematian hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian sebanyak 542 kes.
“Tiga kematian dilaporkan di Johor manakala Selangor dan Putrajaya masing-masing satu kes, dengan mangsa berumur antara 60 hingga 87 tahun yang mempunyai sejarah penyakit kronik,” katanya.