
Pengerusi Eveleen Ling berkata, ibu bapa kini memilih persekolahan di rumah (homeschooling) dan pusat pembelajaran berskala kecil.
Hal ini kerana lebih ramai ibu bapa yang bekerja dari rumah dalam tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).
“Ibu bapa sekarang mencari kemudahan dan keselamatan,” kata Ling, sambil menambah ibu bapa lebih suka tempat pembelajaran yang lebih dekat dengan rumah dan mempunyai jadual waktu yang fleksibel.
Ling bimbang tentang pelajar yang memasuki Tahun 1 kerana mereka belajar secara dalam talian setahun kebelakangan ini dan kualiti pengajaran yang ditawarkan setiap tadika berbeza.
“Cabaran yang akan dihadapi guru sekolah rendah adalah mengubahsuai pengajaran mereka kepada program pemulihan dan intervensi supaya sesuai dengan kemampuan setiap anak murid.
Sekolah dijadualkan memulakan sesi baharu pada 20 Jan tetapi menurut Ling, Kementerian Pendidikan mungkin akan menangguhkan lagi sesi persekolahan berikutan peningkatan jumlah kes harian Covid-19 di Lembah Klang.
Namun, katanya, penutupan sekolah di seluruh negara adalah “pembaziran waktu sekolah bagi murid-murid di zon hijau”.
PKPB yang berpanjangan menyebabkan tekanan kewangan kepada pengusaha tadika.
Guru besar Star Vista Education di Kajang, Olive Tan, berkata beberapa ibu bapa “hilang” selepas gagal membayar yuran anak-anak.
“Bila kami minta bayaran, beberapa ibu bapa juga menolak, dengan alasan kelas dalam talian tidak sama dengan kelas fizikal,” katanya.
Tan berkata, keperluan untuk membayar kos ujian saringan Covid-19 pekerja dan peralatan kesihatan dan keselamatan menambah kos menjalankan tadika.
Namun, beliau lega Kementerian Pendidikan membenarkan tadikanya dibuka lebih awal. Murid-muridnya dibenarkan kembali ke tadika sejak Selasa, tambahnya.
Menurut Tan, tadikanya membenarkan para ibu bapa membayar yuran secara ansuran.
Pengetua New Sun Moon di Bangsar, Aidelle Pang berkata, dalam situasi genting ini, pihak tadika dan ibu bapa perlu saling bertolak ansur, khususnya mereka yang mengalami pemotongan gaji.
“Ada ibu bapa maklumkan kepada kami mereka mengalami kekangan kewangan,” kata Pang.
Dengan pengurangan 50% yuran sekolah, katanya, kewangan sekolah turut terjejas kerana perlu menanggung kos pembelian alat pengimbas suhu dan pensanitasi.
Bagaimanapun, beliau optimis tentang kemampuan sekolah untuk beroperasi dengan norma baharu.
Kanak-kanak nampaknya lebih bersedia mematuhi SOP berbanding orang dewasa, tambah Pang lagi.