JPPM tolak permohonan pendaftaran Pejuang

JPPM tolak permohonan pendaftaran Pejuang

Pejuang menerima surat RoS lewat petang semalam yang memberitahu permohonan pendaftaran parti itu ditolak.

Presiden protem Pejuang Mukhriz Mahathir menunjukkan borang permohonan parti itu kepada RoS bulan lepas.
KUALA LUMPUR:
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) menolak permohonan pendaftaran parti Dr Mahathir Mohamad, iaitu Pejuang.

Peguam Mior Nor Haidir Suhaimi memaklumkan perkembangan itu kepada pemberita selepas prosiding semakan kehakiman Pejuang di Mahkamah Tinggi hari ini.

“Kami menerima surat RoS lewat petang semalam yang memberitahu bahawa ia memutuskan untuk menolak pendaftaran kami.

“Oleh kerana semakan kehakiman ini berkait dengan ketiadaan tindakan RoS berhubung permohonan pendaftaran kami, maka ia kini tiada makna apa-apa,” katanya.

Sehubungan itu Mior berkata, Pejuang menarik balik permohonan untuk memulakan semakan kehakiman ke atas penangguhan JPPM dan akan meminta arahan lanjut daripada setiausaha agung penaja, Amiruddin Hamzah, berhubung tindakan selanjutnya.

Di bawah Seksyen 7 Akta Pertubuhan, pihak yang terkesan boleh membuat rayuan terhadap keputusan JPPM kepada Kementerian Dalam Negeri dalam tempoh 30 hari.

Terdahulu, Pejuang memfailkan permohonan mencabar “kelalaian” JPPM, dengan cuba memaksa kerajaan membuat keputusan mengenai pendaftarannya.

Parti itu memohon pengisytiharan bahawa “kelalaian dan pengabaian” JPPM dan ketua pengarahnya mendaftarkan Pejuang adalah tidak munasabah dan berniat jahat.

Mahathir sebelum ini menyuarakan kekeluhan kerana belum menerima kelulusan daripada JPPM berhubung pendaftaran parti itu, walaupun semua syarat dipenuhi.

Pejuang ditubuhkan sebagai parti bebas berteraskan orang Melayu selepas kumpulan yang dikaitkan dengan Mahathir bertindak keluar PPBM, yang juga ditubuhkan oleh bekas perdana menteri itu.

Anggota pengasas Pejuang lain ialah Ahli Parlimen Jerlun Mukhriz Mahathir, Ahli Parlimen Sri Gading, Shahruddin Md Salleh dan Marzuki Yahaya.

Mahathir berkata, matlamat parti itu ialah untuk memerangi rasuah, selain menambah bahawa parti berteraskan orang Melayu lain tersasar daripada perjuangan asalnya dan terpengaruh dengan wang dan kuasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.