Banjir makin buruk di Pahang, Kelantan, Terengganu, Perak

Banjir makin buruk di Pahang, Kelantan, Terengganu, Perak

Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri terlibat terus meningkat.

Pemandangan udara menunjukkan sebahagian kawasan bandar Kota Tinggi yang dilanda banjir hari ini. Kota Tinggi merupakan daerah yang terjejas teruk ekoran banjir kali ini melibatkan seramai 2,029 mangsa. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Keadaan banjir di Pahang, Kelantan, Terengganu dan Perak bertambah buruk pagi ini berikutan hujan lebat yang masih berterusan menyaksikan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri terlibat terus meningkat.

Bagaimanapun, keadaan banjir di Johor dan Sabah beransur pulih dengan jumlah mangsa terus berkurangan di PPS.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir terus meningkat melibatkan 24,257 mangsa yang ditempatkan di 281 pusat pemindahan di sembilan daerah negeri ini.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan daerah Temerloh mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 5,764 diikuti Maran (5,275), Kuantan (3,461), Lipis (2,551), Jerantut (2,455), Raub (2,182), Rompin (986), Pekan (859) dan Bera (724).

Portal berkenaan turut memaklumkan Sungai Pahang di daerah Bera, Maran, Pekan, Jerantut,Temerloh dan Kuantan sudah telah melepasi tahap bahaya.

Sementara itu, pemegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT) ANIH Berhad menerusi laman Twitter memaklumkan laluan KM113 dan KM115 di Lanchang masih ditutup di kedua-dua hala susulan kenaikan air.

Turut ditutup laluan di KM84 persimpangan Lanchang ke persimpangan Karak menghala Kuantan.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir di lima jajahan negeri itu menunjukkan peningkatan ketara apabila 4,829 mangsa ditempatkan di 64 PPS, berbanding 2,142 mangsa petang semalam.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jajahan Jeli kekal merekodkan bilangan penduduk yang terjejas teruk iaitu 1,688 mangsa, manakala Kuala Krai (1,455), Gua Musang (775 mangsa), Pasir Mas (469) dan Tanah Merah (442).

Sementara itu, menurut infobanjir.water.gov.my, enam batang sungai di negeri itu merekodkan bacaan melepasi paras bahaya iaitu Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai 36.46 meter (m) (bahaya 35.00 m), Sungai Kelantan di Kuala Krai 28.60 m (bahaya 25.00 m) dan Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah 18.17 m (bahaya 16.00 m).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.