3,027 kes baru Covid-19 pecahkan rekod tertinggi semalam

3,027 kes baru Covid-19 pecahkan rekod tertinggi semalam

Jumlah itu mengatasi rekod semalam sebanyak 2,593 kes Covid-19.

PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan mencatatkan 3,027 kes baru Covid-19 hari ini, memecahkan rekod tertinggi semalam sebanyak 2,593 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 2,145 pesakit sembuh dan lapan kematian dicatatkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Ini menjadikan 102,723 pesakit pulih daripada keseluruhan 128,465 kes Covid-19 dan 521 kematian dilaporkan setakat ini.

Katanya, terdapat 25,221 kes aktif dengan 63 daripada 142 pesakit di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata, daripada jumlah kes baru hari ini, enam ialah kes import dan baki 3,021 kes penularan tempatan.

“Bagi kes penularan di dalam negara, 1,577 kes adalah
warganegara (52.2%) dan 1,444 kes bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan.

Hisham berkata, Johor mencatatkan kes baru tertinggi sebanyak 1,103 kes, dengan 1,043 kes (94.6%) dikesan daripada kluster dan saringan kontak rapat Covid-19.

Ia diikuti Selangor (706), Sabah (493), Kuala Lumpur (316), Pulau Pinang (111), Kelantan (66), Negeri Sembilan (63), Perak (59), Kedah (30), Pahang (25), Putrajaya (17), Sarawak (14), Melaka (11), Terengganu (10) dan Labuan (3).

Perlis ialah satu-satunya negeri yang tidak merekodkan sebarang kes baru dalam tempoh 24 jam lalu.

Beliau berkata, 63 kes yang dilaporkan hari ini berkaitan kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara yang membabitkan kluster Penjara Jalan Harapan (35), Damai Pelangi (16), Tembok Gajah (4), Tembok Choh (4), Tembok Mempaga (3) dan Pagar Siput (1).

Lapan kematian yang dilaporkan hari ini membabitkan tujuh warganegara dari Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Putrajaya dan Negeri Sembilan serta seorang warga asing dari Sabah.

Semuanya berusia 38 hingga 83 tahun, dengan tujuh daripadanya mempunyai latar belakang penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang kronik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.