Tahanan tempatan pindah dari pusat Covid-19 susulan aduan sesak, sempit

Tahanan tempatan pindah dari pusat Covid-19 susulan aduan sesak, sempit

Kerajaan Pulau Pinang cadang beberapa lokasi baru dijadikan pusat risiko rendah Covid-19 bagi menghadapi bilangan pesakit dijangka bertambah.

Selain keadaan sesak dan sempit, tahanan di Kompleks Sukan Balik Pulau mengadu terpaksa beratur panjang untuk makan dan menggunakan tandas.
GEORGE TOWN:
Semua tahanan warga tempatan sudah dipindahkan dari pusat risiko rendah Covid-19 disediakan Kementerian Kesihatan (KKM) di Balik Pulau susulan laporan keadaannya yang sesak dan kurang bersih.

Selain keadaan sesak dan sempit, tahanan di Kompleks Sukan Balik Pulau itu mengadu terpaksa beratur panjang untuk makan dan menggunakan tandas, manakala katil diletakkan terlalu rapat antara satu dengan yang lain.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, pegawai jabatan kesihatan negeri akan memindahkan semua pesakit tempatan secepat mungkin ke pusat kuarantin Pusat Latihan Zakat (PULAZA) kira-kira 10km di utara lokasi asal.

Katanya, PULAZA bukan pusat risiko rendah tetapi sebelum ini digunakan untuk kuarantin bagi mereka yang baru pulang dari luar negara menaiki penerbangan antarabangsa ke Pulau Pinang.

Sementara itu, beliau mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya kilang di negeri itu dibenarkan mendirikan sendiri pusat risiko rendah dalam pekarangan masing-masing untuk mengurangkan bebanan kemudahan kesihatan sedia ada.

Beliau berkata, jika dibenarkan, kilang akan mendirikan pusat risiko rendah dengan penyeliaan pegawai kementerian kesihatan. Katanya, senarai kawasan untuk dijadikan pusat risiko rendah sudah diserahkan oleh firma di Pulau Pinang.

Selain itu, Pusat Konvensyen Spice iaitu yang terbesar di Pulau Pinang juga sedang dipertimbangkan untuk dijadikan pusat risiko rendah yang mampu memuatkan sekurang-kurangnya 1,000 pesakit.

“Kami menjangkakan jumlah pesakit Covid-19 Pulau Pinang meningkat susulan lebih ramai pekerja asing disaring setiap hari. Penyediaan lebih banyak pusat risiko rendah akan memastikan kita benar-benar bersedia menghadapinya,” katanya pada sidang media di Komtar.

Menurut laman web KKM, pusat risiko rendah itu dikhususkan bagi mereka yang asimtomatik dan golongan menunjukkan simptom ringan virus itu, yang digelar pesakit kategori satu serta dua. Pesakit akan dipindahkan ke hospital sekiranya keadaan mereka menjadi semakin teruk.

Buat masa ini ada empat pusat seumpama itu di Pulau Pinang termasuk yang terbaharu di Balik Pulau. Pusat pertama didirikan di Kompleks Masyarakat Penyayang di Jalan Scotland manakala satu lagi di Penjara Pulau Pinang dan Penjara Seberang Perai di Jawi selepas susulan bilangan kluster Reman meningkat.

Sehingga semalam, Pulau Pinang merekodkan 4,220 kes dengan 1,218 daripadanya dalam tempoh 14 hari lalu. Pusat bandar George Town, Mukim 13 (Air Itam, Paya Terubong), dan Mukim 14 (Simpang Ampat) masih zon merah.

Keseluruhannya, semua lima daerah di negeri itu adalah zon merah dengan lebih 41 kes direkodkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.