
Peguam S N Nair yang mewakili Kok berkata, perbicaraan di depan pesuruhjaya kehakiman Quay Chew Soon akan bermula pada 27 Mei hingga 4 Jun.
“Tarikh perbicaraan ditetapkan hari ini menerusi pengurusan kes secara maya di depan Quay,” katanya.
Peguam Mohammed Nasser Yusof mewakili Jamal.
Perbicaraan saman fitnah Kok itu tertangguh selepas Jamal memfailkan permohonan membatalkannya, yang gagal di Mahkamah Rayuan tahun lalu.
Dalam saman difailkan pada 2017 itu, Kok mendakwa kenyataan Jamal mencemar nama baiknya sebagai ahli politik kanan DAP selain menggambarkannya seperti orang yang korup.
“Tuduhan Jamal itu tidak berasas kerana saya tidak menyalahgunakan kuasa untuk mendapat dana daripada Yawas,” katanya dalam pernyataan tuntutannya.
Kok menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan, selain perintah injunksi terhadap Jamal daripada menyiarkan kenyataan berbentuk saman lagi.
Jamal mendakwa pada 2017 bahawa ahli politik Kuala Lumpur dan Selangor mengambil wang dana yang sepatutnya untuk bantuan kebajikan daripada Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) tanpa memberikannya kepada pihak yang layak menerimanya.