
Nurul Shahidatul Afzan Zainal, 38, dituduh menggoncang bayi yang ketika itu berusia tiga bulan dengan ganas sehingga menyebabkan mangsa mengalami mengalami pendarahan otak dan mata.
Dia didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret pada Julai 2015 dan keputusan itu disahkan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Ogos 2017.
Panel tiga hakim diketuai Abdul Karim Abdul Jalil hari ini menolak rayuannya selain mengekalkan perintah majistret supaya tertuduh membayar pampasan RM40,000 kepada keluarga mangsa, yang sudahpun dibayar Nurul.
Tiga tahun lalu panel hakim berbeza membenarkan permohonan Nurul untuk merayu terhadap sabitan dan hukumannya berdasarkan tiga isu perundangan.
Seorang tertuduh mesti mendapat kebenaran mahkamah untuk membuat rayuan sekiranya perbicaraan dimulakan di mahkamah majistret.
Karim mengatakan pertuduhan bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 bukan merupakan kesalahan liabiliti ketat dan pihak pendakwaan mesti membuktikan tertuduh berniat melakukannya.
“Dalam kes ini, walaupun hakim tidak pernah menyebut istilah ‘mens rea’ (niat jenayah), bukti terhadap tertuduh sangat kuat,” katanya.
Menurutnya, ini termasuk tindakannya menggoncang bayi tersebut dengan ganas sehingga menyebabkan pendarahan otak dan mata.
Karim berkata, panel yang juga dianggotai Vazeer Alam Mydin Meera dan Che Mohd Ruzima Ghazali menggunakan Seksyen 60 Akta Mahkamah Kehakiman untuk mengkaji semula bukti.
Katanya, memandangkan bukti yang begitu kukuh, mahkamah juga bersetuju dengan perintah majistret pada 2015 adalah benar menggunakan Seksyen 426 (1) (a) Kanun Prosedur Jenayah untuk memerintahkan pampasan.
“Kami memerintahkan tertuduh ditahan,” katanya.
Nurul yang sebelum ini dibenarkan jaminan RM8,000, kemudian dibawa ke lokap mahkamah sebelum dihantar ke penjara.
Dia didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret kerana mendera mangsa yang ketika berada di bawah jagaan Pusat Jagaan Nur Kasih di Petaling Jaya pada 24 Februari 2012.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Peguam Ramkarpal Singh mewakili tertuduh sementara Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron mewakili pendakwaan.