Bapa, nenek saudara antara 6 ditahan disyaki dera budak OKU sampai mati

Bapa, nenek saudara antara 6 ditahan disyaki dera budak OKU sampai mati

Hasil siasatan mendapati mangsa berusia lima tahun didera menggunakan rotan selain dipijak pada perut serta dicucuh dengan ubat nyamuk pada bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Gombak Arifai Tarawe berkata siasatan mendapati kanak-kanak perempuan itu didera menggunakan rotan selain dipijak pada bahagian perut serta dicucuh dengan ubat nyamuk pada badan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bapa dan nenek saudara seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun antara enam individu ditahan bagi membantu siasatan kematian kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) itu di sebuah rumah di Kampung Sungai Cincin, Gombak.

Perbuatan kejam terhadap kanak-kanak menghidap penyakit Hydrocephalus iaitu lebihan cecair otak sejak lahir itu, terbongkar selepas ditemui ibu saudaranya dalam keadaan tidak sedarkan diri di ruang tamu rumah nenek saudaranya itu pada 30 Dis tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Gombak Arifai Tarawe berkata, kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Orang Asli Gombak sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan pecah usus dalaman dan terdapat parut lama serta baharu pada badan mangsa dipercayai akibat didera.

“Suspek utama iaitu wanita Indonesia berusia 55 tahun yang juga nenek saudara mangsa ditahan pada 1 Jan bersama bapanya yang bekerja sebagai pemandu lori dan empat individu lain bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kanak-kanak itu yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik tinggal bersama kakak dan bapanya di rumah nenek saudara mereka itu selepas ibu bapanya bercerai pada 2017.

Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa didera menggunakan rotan selain dipijak pada bahagian perut serta dicucuh dengan ubat nyamuk pada bahagian badan.

Arifai berkata, kakak mangsa kini berada di Hospital Selayang untuk pemeriksaan bagi mengenal pasti sama ada dia turut menjadi mangsa dera atau sebaliknya.

“Semua mereka ditahan reman enam hari hingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.