
Ahli Parlimen Ketereh itu hanya mengetahui pemecatan berkenaan melalui media.
Katanya, pemecatannya perlu dibuat menerusi mesyuarat pimpinan tertinggi BN.
“Pecat dan dilantik (sebagai setiausaha agung BN) tidak boleh dibuat presiden Umno dalam mesyuarat ketua bahagian Umno, ia perlu dibuat pengerusi BN dalam mesyuarat BN bersama rakan parti lain.
“Saya ingin menegaskan bahawa saya menerima keputusan presiden, pengerusi BN memecat saya dan saya telah maklum kepada beliau jam 1.51 tengah hari semalam untuk saya ucap terima kasih,” katanya.
Pimpinan tertinggi MCA dan MIC selaku parti komponen BN, sebelum ini mengesahkan keputusan memecat Annuar itu tidak dirujuk kepada mereka dan tidak mengikut proses pelembagaan parti itu.
Annuar mendakwa, pemecatan beliau atas jawatan itu tidak sah.
Malah katanya, pengumuman dibuat Zahid ketika mesyuarat ketua bahagian Umno semalam bukannya atas kapasiti sebagai pengerusi BN.
“Walaupun presiden Umno adalah pengerusi BN, dia sepatutnya mengambil kira pandangan parti-parti komponen lain, bukannya pada peringkat Majlis Kerja Tertinggi Umno.
“Jadi saya cadangkan, pecat saya sekali lagi pada mesyuarat BN,” katanya dalam sidang media di Kementerian Wilayah Persekutuan.
Annuar turut mengesahkan beliau belum menerima sebarang surat pemecatan jawatan daripada Zahid.
“Saya tidak terima lagi, namun setiausaha agung BN yang baharu, Ahmad Maslan, ada hantar mesej kepada saya. Dia jelaskan dia tak minta jawatan itu,” katanya.
Semalam, Zahid memecat Annuar dalam satu mesyuarat ketua bahagian Umno.
Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan sebelum ini dikritik hebat akar umbi Umno yang mendakwa konon beliau membawa suara PPBM dalam BN.
Dalam sidang media sama, Annuar berkata tidak ada sebab untuk beliau meninggalkan Umno dan menyertai parti lain atas isu pemecatan itu.
“Sebab apa nak keluar (Umno)? Tidak ada siapa halau saya, komitmen bertambah.
“Setiausaha agung terikat keputusan parti. Sudah tidak (pegang jawatan itu), saya akan dapat lebih aktif membantu parti,” katanya.