
“Alhamdulillah. Tapi nak bagitau Zahid, abah kepada Nurul, takda kena mengena dalam pelantikan ini,” kata Nurul, 42, di laman Instagram.
Nurulhidayah berkata, dia sendiri menyerahkan resumenya kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Wan Junaidi Tuanku Jaafar berdasarkan latar belakang pendidikan dan pengalamannya dalam pelbagai bidang.
Beliau menerima pelantikan sebagai ahli perbadanan SME Corporation daripada Wan Junaidi dalam satu majlis semalam.
SME Corp adalah agensi pusat bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang menyelaras pelaksanaan program pembangunan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Menurut profil LinkedIn Nurulhidayah, beliau memegang jawatan pengarah eksekutif di Menara Rezeki Sdn Bhd dan syarikat pengurusan global Ri-Yaz Group yang juga menguruskan beberapa hotel di Cyberjaya seperti Tan’yaa dan Dash Box.
Selain itu, beliau juga pernah memegang jawatan ketua komunikasi korporat di Syarikat Perumahan Negara Berhad pada 2012 hingga 2016.
Nurulhidayah memiliki ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana bidang komunikasi korporat daripada Universiti Putra Malaysia.