Kritikan, halangan tak luntur semangat pelajar gapai impian teroka angkasa

Kritikan, halangan tak luntur semangat pelajar gapai impian teroka angkasa

Daripada program latihan lima tahun, Vanmitha Athimoolam hanya tinggal satu temuduga yang mungkin merealisasikan impiannya ke angkasa lepas.

Vanmitha Athimoolam bersama Sheikh Muszaphar Shukor, satu-satunya rakyat Malaysia yang pernah ke angkasa lepas.
PETALING JAYA:
Sebuah filem pengembaraan angkasa lepas pada 2005 yang mendapat sedikit sambutan daripada peminat membuatkan Vanmitha Athimoolam, pelajar berasal dari Klang, memasang impian untuk meneroka angkasa lepas.

“Zaruthra adalah filem angkasa lepas pertama yang saya tonton, dan sewaktu melihat bagaimana rupa angkasa lepas dalam filem itu, ia mengagumkan saya. Sejak itu, saya mempunyai rasa ingin tahu tentang kehidupan di luar bumi,” katanya kepada FMT.

Kini, Vanmitha dalam usaha menuju ke angkasa lepas. Beliau memasuki sebuah pertandingan Kerjaya Angkasawan di peringkat global dan berharap menjadi satu-satunya rakyat Malaysia yang terpilih untuk program lima tahun, di mana empat pemenang akan dipilih untuk penerbangan “suborbit”.

Vanmitha, 20, pelajar kejuruteraan aeroangkasa, merupakan finalis dalam pertandingan itu, anjuran syarikat Amerika Syarikat, Advancing X. Tahun lalu, hanya 18 pemohon diterima.

Beliau hanya perlu menghadiri satu temuduga lagi. Sekiranya diterima, beliau perlu berpindah ke AS Julai ini untuk menjalani latihan intensif selama lima tahun bagi menguji ketahanan fizikal dan mentalnya.

Pelajar jurusan kejuruteraan aeroangkasa berusia 20 tahun ini, berminat dalam penerokaan angkasa lepas sejak kecil.

Vanmitha masih ingat kali pertama beliau memberitahu ibu bapanya tentang cita-cita menjadi angkasawan beberapa tahun lalu. Mereka menganggapnya sebagai satu “fasa”, yang dilalui kebanyakan kanak-kanak sebelum menyedari kesukaran untuk merealisasikannya.

“Mereka tidak tahu betapa fokusnya saya. Mereka beritahu saya perlu belajar bersungguh-sungguh kalau mahukannya, dan ketika itulah saya mula serius dengan pelajaran sebab saya perlu berbuat demikian kalau mahu menuju ke tempat yang saya mahu.”

Berasal daripada keluarga kelas pertengahan di negara yang tidak mempunyai banyak sejarah menghantar rakyat ke angkasa lepas, selain Sheikh Muszaphar Shukor pada 2007, Vanmitha tidak pasti sama ada beliau boleh sampai ke angkasa. Beliau juga mempunyai ramai pengkritik.

“Masa saya kecil, orang kata saya tidak ada masa depan di Malaysia. ‘Lupakan impian anda, buat pekerjaan biasa seperti perubatan atau undang-undang, atau jadilah cikgu’.

“Mereka beri saya pemikiran yang mengatakan masa depan saya bukan di sini, tetapi saya perlu ke luar negara.”

Katanya, beliau kecewa selepas mengetahui NASA hanya menerima warganegara AS pada 2017, tempoh di mana beliau pernah memikirkan untuk melepaskan cita-citanya menjadi angkasawan.

Vanmitha Athimoolam hanya selangkah daripada program latihan yang akan memilih empat peserta untuk penerbangan ‘suborbital’.

“Tetapi kemudiannya saya dapat tahu tentang sebuah NGO angkasa lepas tempatan, dan menghadiri mesyuarat agung tahunan mereka di planetarium. Saya menemui sekumpulan orang dengan pemikiran sama seperti saya, berusaha membina industri angkasa lepas yang kukuh di Malaysia. Ia mengembalikan harapan saya semula.”

Beliau menghadapi banyak rintangan sejak itu, berdepan “banyak kegagalan dan penolakan daripada pertandingan serta program,” Vanmitha kini menganggap setiap halangan itu sebagai pengalaman untuk belajar dan terus mengejar impiannya dengan sokongan keluarga.

Sebagai wanita muda dalam bidang STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik), beliau berharap wanita tempatan yang lain akan mengikuti jejaknya supaya jantina mereka tidak perlu menjadi halangan tambahan untuk menggapai impian.

“Saya minta maaf untuk katakannya, tetapi kesaksamaan jantina tidak berada di tempat sepatutnya di Malaysia, masih ada perasaan mengatakan lelaki lebih berkuasa. Sesetengah orang tidak fikir wanita mampu mencapai apa yang dilakukan lelaki.

“Bagi saya, dan wanita lain dalam STEM di Malaysia, sudah tiba masanya untuk mengiktiraf serta memperkasakan kami untuk mempunyai impian besar.”

Mengimbau kata-kata orang yang memberitahunya mustahil untuk menjadi angkasawan, beliau berkata, “mereka yang gagal mencapai impian mereka yang berusaha menghalang anda mencapai impian anda,” dan menasihatkan orang lain dengan aspirasi tinggi.

“Apabila orang kata anda tiada masa depan, anda perlu percaya masa depan perlu ditentukan anda. Ia ada dalam genggaman anda. Fokus pada diri dan impian anda, serta jangan mudah berputus asa.

“Anda hanya gagal apabila anda berhenti mencuba.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.