
Bung berkata, TAED, yang asalnya dirancang sebagai projek pembangunan bercampur bernilai jutaan ringgit di Tanjung Aru di sini, akan dikurangkan dan tidak membabitkan sebarang kerja penambakan laut.
Sebaliknya, katanya, kerajaan mempertimbangkan kemungkinan memindahkan semula Empangan Papar ke lokasi asalnya di Penampang.
“Kami mungkin memindahkan empangan ke Penampang semula kerana saya dimaklumkan jika dilakukan di Papar, empangan itu hanya akan membekalkan air selama 60 tahun, sedangkan di Penampang tempohnya 85 tahun.
“Jadi kita punya lebih banyak masa sebelum perlu mencari sumber air lain – sebab itu saya kata kita perlu memindahkannya ke Kaiduan (di Penampang).
“Kekurangan air adalah masalah dialami di seluruh Sabah. Kita perlu berani, jika tidak rakyat Sabah akan terjejas,” katanya kepada pemberita di satu majlis di sini, hari ini.
Behrubung TAED, Bung berkata, kos projek berkenaan akan diturunkan berikutan tidak membabitkan kerja penambakan laut, namun sebahagian daripadanya mungkin turut membabitkan pantai popular, Tanjung Aru.
“Kami akan menggunakan pantai sedia ada, namun bukan sepenuhnya kerana masih ada kawasan awam. Lembaga pengarah telah dilantik ketua menteri dan saya percaya kerja-kerja akan dimulakan tahun ini,” katanya.
Kerajaan negeri diketuai Warisan turut merancang menjalankan semula kedua-dua projek, yang dimulakan kerajaan Barisan Nasional terdahulu, namun dikecam hebat NGO dan parti politik termasuk dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Projek empangan itu dipindahkan ke Papar dari Kaiduan, Penampang, oleh Warisan tetapi terus dibantah hebat terutama daripada Taskforce Against Kaiduan Dam (Takad), antara lainnya.
Warisan juga bercadang mengurangkan projek TAED namun tetap dikecam.
Sementara itu, mengulas pertelingkahan antara sayap pemuda PPBM Sabah dan UMNO berhubung dakwaan ‘mencuri’ ahli, Bung yang juga ketua pemuda UMNO Sabah menggesa mereka memfokuskan terhadap berkhidmat untuk rakyat.
“Kita mengamalkan demokrasi dan pada saya isu ‘mencuri’ ahli bukanlah sesuatu yang mudah. Namun bergantung kepada ahli, parti mana mahu disertai, tidak perlulah bertengkar.
“Nasihat saya adalah, bantu rakyat, tidak perlu bertengkar mengenai isu keahlian kerana sekarang masanya untuk berkhidmat demi rakyat – jangan buang masa memikirkan sesuatu yang tidak mendatangkan manfaat,” katanya.
Beliau turut menegaskan pendirian UMNO Sabah untuk memastikan kerajaan GRS kekal sambil menambah partinya mempunyai hubungan baik bukan saja dengan PPBM malah juga parti anggota lain seperti PBS dan STAR.
Ketua Pemuda UMNO Sabah Abdul Aziz Julkarnain sebelum ini mendakwa PPBM hampir berjaya ‘mencuri’ semua anggota UMNO Sabah menyertai partinya ketika hampir semua pemimpin kanan UMNO termasuk Ahli Parlimen dan ADUN bertindak keluar parti pada Disember 2018.
Susulan itu, ketua sayap pemuda PPBM Sabah Fairuz Renddan menuduh pemuda UMNO membuat tuduhan tidak berasas, selain mendakwa Aziz cuba mencetuskan perbalahan dalam pemerintahan GRS.
Fairuz berkata, ahli UMNO yang meninggalkan parti telah menjadi anggota bebas dewan undangan negeri sebelum menyertai PPBM. Menurutnya, mereka berbuat demikian atas kerelaan sendiri selepas PPBM menapak di Sabah pada April 2019.