PKPD di Kampung Timbang Dayang, Kota Belud bermula esok

PKPD di Kampung Timbang Dayang, Kota Belud bermula esok

Kerajaan juga bersetuju menamatkan PKPD di Pusat Koreksional Jasin dan Kuarters Kakitangan hari ini seperti dijadualkan.

Pelaksanaan PKPD di Kampung Timbang Dayang, Kota Belud, Sabah, susulan berlaku peningkatan kes postif COVID-19.
PETALING JAYA:
Kampung Timbang Dayang di Kota Belud, Sabah diletakkan bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) berkuatkuasa 5 Jan hingga 18 Jan ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, kawalan ketat itu susulan Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan berlaku peningkatan kes postif COVID-19.

“Sehingga 31 Dis, KKM melaksanakan 207 saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 24 kes positif direkodkan.

“PKPD ini bagi memudahkan tindakan kawalan dan pencegahan lapangan dijalankan serta bagi menyekat penularan jangkitan COVID-19 dalam komuniti setempat,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ismail berkata kerajaan juga bersetuju menamatkan PKPD di Pusat Koreksional Jasin dan Kuarters Kakitangan hari ini seperti dijadualkan.

“Sehingga kini, KKM selesai melaksanakan 737 ujian saringan dan secara kumulatif sebanyak 281 kes positif COVID-19 direkodkan.

“KKM mengesahkan pelaporan harian kes aktif di pusat tahanan ini menunjukkan trend penurunan dan terkawal serta tiada lagi sampel menunggu keputusan.”

Mengulas kesalahan ingkar perintah kawalan pergerakan (PKP), beliau berkata, seramai 466 individu ditahan dan daripada jumlah itu, 463 dikenakan kompaun manakala 2 direman dan seorang dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti pusat hiburan (187), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (110), tidak memakai pelitup muka (90), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (62) dan lain-lain (17).

Mengenai Ops Benteng, katanya sebanyak 24 pendatang asing tanpa izin ditahan sementara 6 kenderaan darat dirampas dalam 109 sekatan jalan raya di seluruh negara.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutama di lorong tikus,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.