Banjir: Kelantan gerak misi bantuan kepada Pahang, Terengganu, dan Johor

Banjir: Kelantan gerak misi bantuan kepada Pahang, Terengganu, dan Johor

Bantuan awal berbentuk toto dan selimut berjumlah RM20,000 akan digerakkan segera hari ini ke Pahang.

EXCO Mumtaz Md Nawi (kiri) meninjau cadar dan toto untuk dihantar ke Pahang. (Gambar Exco Mumtaz)
PETALING JAYA:
Kelantan hari ini menghantar bantuan kepada Pahang, Terengganu, dan Johor yang dilanda banjir.

EXCO Kebajikan, Pembangunan, Keluarga dan Wanita, Mumtaz Md Nawi, berkata bantuan awal berbentuk toto dan selimut berjumlah RM20,000 akan digerakkan segera hari ini ke Pahang.

“Makanan disana masih mencukupi, kita akan hantar selimut dan toto dulu sebagaimana permintaan mereka, kita akan beri bantuan secara berperingkat, untuk hari ini jumlah bantuan RM20,000 dahulu,” katanya kepada FMT.

Mumtaz memaklumkan fokus akan diberi kepada Pahang memandangkan negeri itu terjejas teruk, disamping memantau perkembangan di negeri lain.

Kelantan juga mengarahkan semua sukarelawan negeri itu bersiap sedia untuk misi memberi bantuan kepada mangsa bencana banjir.

“Petugas kita sudah siap sedia, cuma nak dihantar ke negeri lain membantu itu buat masa ini belum lagi memandangkan kita kita masih dalam risiko COVID-19, kecuali bila keadaan (penularan) bertambah baik,” katanya.

Ditanya persiapan Kelantan dalam menghadapi bencana banjir, Mumtaz berkata semua petugas bersedia termasuk pusat pemindahan.

“Petugas kita sudah siap sedia cuma bila COVID-19, keadaan bertambah sukar. Tempat perpindahan kena buka lebih banyak kalau berlaku banjir,” katanya, sambil memaklumkan Gua Musang sudah mula menaiki air dan persiapan sedang diatur.

Keadaan banjir di Pahang dan Terengganu semakin buruk pada malam Ahad dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) dilaporkan meningkat, manakala mangsa di Johor berkurangan sedikit berbanding petang Ahad.

Sebanyak 10,501 mangsa banjir daripada 2,949 keluarga ditempatkan di Pusat Permindahan Sementara (PPS) membabitkan tiga negeri iaitu Johor, Pahang, dan Selangor setakat 8 malam pada Ahad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.