Warga emas maut selepas motosikal langgar lubang di KL

Warga emas maut selepas motosikal langgar lubang di KL

Kejadian itu berlaku ketika isu jalan berlubang mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya.

Jalan berlubang yang meragut nyawa penunggang motosikal, Ho Yan Fee, pagi tadi. (Gambar PDRM)
KUALA LUMPUR:
Seorang warga emas maut selepas terjatuh daripada motosikalnya yang terlanggar lubang di atas jalan berhampiran pusat beli-belah Mid Valley pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Ho Yan Fee, 75.

Ketua Jabatan Penguatkuasaan dan Siasatan Trafik Kuala Lumpur, Zulkefly Yahya berkata, siasatan awal mendapati lelaki yang dari Jalan Connaught menuju pusat beli-belah Mid Valley itu, terbabas dan terjatuh ke atas jalan selepas terlanggar jalan berlubang.

“Mayatnya akan dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia untuk dibedah siasat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan kerana menyebabkan kematian akibat kecuaian atau pemanduan bahaya.

Kewujudan lubang di jalan menjadi topik perbincangan hangat baru-baru ini, selepas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin cedera akibat terjatuh daripada basikalnya, selepas terlanggar lubang di Banting pada 27 Dis lalu.

Jabatan Kerja Raya kemudiannya memohon maaf kepada Khairy dan berjanji akan bertindak segera menampal lubang itu.

Bagaimanapun, pengguna media sosial mengkritik JKR mengamalkan “dwistandard” dengan mempersoalkan jika jabatan itu akan bertindak segera jika kejadian itu tidak membabitkan VIP.

Pada 31 Dis lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan rayuan seorang lelaki Pakistan terhadap kerajaan untuk menuntut pampasan RM48,700 atas kecuaian bagi kecederaan dialaminya selepas motosikalnya melanggar lubang di Jalan Kuala Selangor ketika hujan pada Oktober 2014.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.