
Ketua Pemuda Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkan kerajaan bahawa suasana pandemik ketika ini sesuatu yang luar biasa, yang memerlukan tindakan luar biasa.
“Sesi persekolahan baharu akan bermula. Rakyat terdesak perlukan tunai. Ramai yang memang susah ketika ini,” katanya di Facebook.
“Tunaikan sahajalah permintaan rakyat agar pengeluaran i-Sinar KWSP (boleh dibuat) tanpa syarat atau kriteria.”
Asyraf dalam tegurannya berkata kerajaan tidak wajar mendedahkan rakyat kepada risiko COVID-19 dengan bersesak-sesak di pejabat KWSP hanya untuk merayu dan menyerahkan dokumen untuk melayakkan mereka termasuk dalam Kategori 2.
Pada 2 Dis lepas, KWSP mengumumkan pencarum yang layak membuat permohonan kemudahan i-Sinar terbahagi kepada dua kategori.
Kategori 1 adalah pencarum yang bekerja dalam sektor formal, bekerja sendiri, bekerja dalam sektor ekonomi gig, ahli yang sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau ahli yang diberi notis cuti tanpa gaji.
Kriteria kelayakan bagi kategori 1 adalah ahli yang tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama dua bulan berturut-turut semasa permohonan, atau ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30% selepas Mac 2020.
Bagi kategori ini, tiada dokumen sokongan diperlukan, kelulusan adalah secara automatik berdasarkan data dalaman KWSP dan ahli hanya perlu memohon secara dalam talian melalui isinar.kwsp.gov.my mulai 21 Dis.
Kategori 2 adalah untuk ahli yang masih bekerja, tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30% selepas Mac dan pengurangan tersebut hanya boleh dikenal pasti melalui dokumen diberikan.