
Felo kanan di Majlis Profesor Negara, Jeniri Amir, berkata persoalan kepimpinan merupakan isu teras yang dihadapi oleh blok pembangkang yang kini berantakan.
Beliau berkata, Mahathir tidak lagi relevan kepada perjuangan pembangkang atau keperluan memenangi sokongan pengundi Melayu, sementara kredibiliti Anwar terkesan oleh kegagalannya membuktikan sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
Sejak kebelakangan ini Mahathir dan Anwar saling bertukar hujah berhubung masa depan Pakatan Harapan (PH).
Baru-baru ini Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasir, berkata PH perlu mengetepikan rancangan untuk bekerjasama dengan Mahathir.
Beliau mendakwa bekas perdana menteri itu hanya mahu “memecah-belahkan dan menguasai” selepas Mahathir menyerang Anwar yang sebelum itu berkata bahawa PH bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak, termasuk Mahathir, bagi membentuk gabungan besar pembangkang.
Jeniri berkata, masalah utama PH ialah persoalan kepimpinan, yang berkait rapat dengan ketiadaan pengganti Anwar dalam PKR, parti yang kini berperanan menyatukan pembangkang.
“Orang ramai tidak nampak PKR mahu ke mana atau sama ada ia masih relevan. Parti itu memerlukan pemimpin baharu yang mampu bekerja dengan semua parti, selain memimpin blok pembangkang. Tiada lagi Mahathir atau Anwar,” kata Jeniri.
Bagaimanapun pakar sains politik Wong Chin Huat dari Pusat Jeffrey Sachs mengenai Pembangunan Mampan berkata, Anwar perlu memperkemas diri dan menawarkan haluan baru atau berundur dan memberi peluang kepada pemimpin lain, misalnya Presiden Warisan Shafie Apdal.
“Berikutan kenyataan DAP-Amanah berhubung reset politik, DAP menjelaskan sikap bahawa ia tidak menuntut perubahan kepimpinan.
“Ini bermakna jika Anwar bersedia memimpin pembangkang dengan nafas baharu, bukannya wirid ‘sokongan meyakinkan dan kukuh’, maka tidak timbul isu DAP, dan juga Amanah, mahu meninggalkan PKR.”
Bagaimanapun jika Anwar terus bercakap mengenai jumlah sokongan, maka cakap-cakap tentang perubahan kepimpinan tidak akan berakhir.
“Langkah Anwar selepas ini merupakan faktor penentu sama ada PH Plus boleh dipulihkan semula untuk menghadapi pilihan raya umum ke-15.”
Pembentukan Jemaah Menteri bayangan boleh menjadi isyarat penting bahawa PH Plus bersedia bersaing dengan kerajaan Perikatan Nasional-Barisan Nasional-Gabungan Parti Sarawak berhubung dasar, bukannya dengan memujuk Ahli Parlimen supaya mengubah sokongan, katanya.
Syed Arabi Idid dari Universiti Islam Antarabangsa berkata, PH kelihatan hilang pedoman sebagai sebuah gabungan politik dan perlu membuat keputusan bersama berhubung strategi yang perlu diambil.
“PH nampak bersatu semasa pengundian Belanjawan 2021 lepas, walaupun ia mungkin tidak mempunyai cukup sokongan dalam usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri. Ia harus memperkuat diri bagi menghadapi PRU15,” katanya.