Kanak-kanak lemas terjatuh sungai ketika main air

Kanak-kanak lemas terjatuh sungai ketika main air

Mangsa ditemui pada jarak 15m dari tempat beliau terjatuh dan disahkan meninggal dunia pada 11.30 pagi.

Anggota Bomba dan Penyelamat Tapah, Angkatan Pertahanan Awam, polis serta penduduk kampung menyertai operasi mencari Muhamad Amsyar Mohd Zamri. (Gambar Bernama)
TAPAH:
Seorang kanak-kanak lelaki berumur lima tahun lemas selepas terjatuh ke Sungai Jerong Bikam di Sungkai pada 10.45 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tapah, Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, ketika kejadian, Muhamad Amsyar Mohd Zamri bersama dua adiknya dan seorang sepupu berumur lima hingga 11 tahun sedang bermain air di sungai itu ketika hujan lebat.

“Kanak-kanak tersebut mula bermain kira-kira 10.30 pagi tanpa pengetahuan keluarga dan apabila mangsa terjatuh ke sungai, tiga yang lain berlari memberitahu ibu mereka di rumah yang jaraknya lebih kurang 200m dari tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, operasi mencari dilakukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tapah, Angkatan Pertahanan Awam, polis serta penduduk kampung.

Katanya, mangsa ditemui kira-kira 11.30 pagi pada jarak 15m dari tempat beliau terjatuh sebelum disahkan meninggal dunia dan mayat dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat.

Beliau berkata, mangsa bersama keluarga dari Felda Besout 2, Sungkai ke rumah saudaranya di Kampung Bikam semalam dan siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah serta kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.