Batal HSR: Bagaimana pula 70,000 peluang pekerjaan, soal Pemuda UMNO Johor

Batal HSR: Bagaimana pula 70,000 peluang pekerjaan, soal Pemuda UMNO Johor

Pemuda Johor juga mahu kerajaan menjelaskan kepada pihak-pihak yang sudah membeli kot komersial dan kediaman di Muar, Batu Pahat, dan Iskandar Puteri yang terlibat dalam pembangunan HSR.

(Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemuda UMNO Johor menuntut kerajaan menjelaskan kesan keputusan Putrajaya membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) kepada ekonomi Johor, selepas pelbagai manfaat diuar-uarkan sebelum ini.

Dalam laporan terdahulu, rakan pelaksana projek HSR, MRCB Gamuda Consortium, menjangkakan pelaksanaannya akan mewujudkan sehingga 22,000 pekerjaan berpendapatan tinggi dan 48,000 pekerjaan separa mahir dan kurang mahir. MyHSR Corporation Sdn Bhd pula mengumumkan lebih 40% daripada nilai keseluruhan kontrak kerja sivil projek itu akan diperuntukkan kepada kontraktor Bumiputera, yang akan ditawarkan menerusi tender terbuka dan pemilihan secara terperinci.

Ketua Pemuda Mohd Hairi Mad Shah hari ini berkata besar impaknya keputusan Putrajaya itu kepada ekonomi mikro Johor, mengatasi kesannya kepada reputasi Malaysia dalam kalangan pelabur asing.

“Bagaimana pula dengan 70,000 peluang pekerjaan apabila projek ini dibatalkan? Bagaimana pula dengan peluang perniagaan kontraktor kecil Bumiputera yang boleh mendapat manfaat dan limpahan jika projek ini dijalankan,” katanya di Facebook.

Hairi juga mahu kerajaan menjelaskan kepada pihak-pihak yang sudah membeli lot komersial dan kediaman di kawasan-kawasan dalam Muar, Batu Pahat, dan Iskandar Puteri yang terlibat dalam pembangunan HSR, kerana teruja dengan manfaat pengangkutan awam kereta api laju.

“Apa jadi dengan pelan pembangunan kawasan ini? Apa jadi dengan mereka semua ini?”

Pemuda UMNO Johor mahu kerajaan menjelaskan perancangannya untuk meneruskan kelangsungan di tiga daerah Johor yang terlibat dengan pembangunan HSR, di samping implikasi bayaran pampasan RM300 juta kepada Singapura ke atas kewangannya.

Pada Okt lepas, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata rakyat Parlimen Pagoh “paling bertuah” kerana sebuah stesen HSR di wujudkan di situ, sekali gus memberi peluang untuk meningkatkan ekonominya. Katanya, yang juga Ahli Parlimen di situ, kerajaan akan mewujudkan zon ekonomi di tanah seluas 4,000 ekar dan membawa masuk pelbagai syarikat gergasi antarabangsa.

“Mengapa sebelum ini kerajaan yakin mengatakan HSR diteruskan, malah dalam ucapan perdana menteri bersama masyarakat di Pagoh beberapa bulan lepas sebelum pembentangan Belanjawan 2021 dengan bangga mengumumkan projek ini akan diteruskan, tetapi mengapa ‘u-turn’ pula?” soal Hairi.

Kelmarin dilaporkan tiada persetujuan berhubung struktur projek, jajaran dan reka bentuk stesen menyebabkan projek HSR menemui jalan buntu. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed berkata Malaysia dan Singapura gagal bersetuju mengenai beberapa isu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.