Tragedi 9 lemas: Kenderaan hilang kawalan sebelum jatuh sungai, kata polis

Tragedi 9 lemas: Kenderaan hilang kawalan sebelum jatuh sungai, kata polis

Pemandu dipercayai gagal mengawal pergerakan pacuan empat roda itu menyebabkan ia terbabas dan menggelongsor ke sungai.

Polis berkata, orang ramai di kawasan Jeti Feri Triso sempat mengikat pacuan empat roda ini dengan rantai besi dan menariknya bagi mengelakkan ia tenggelam sebelum mengeluarkan semua mangsa. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Pacuan empat roda yang terhumban ke Sungai Batang Lupar di Jeti Feri Triso, kira-kira 120km dari sini, dikatakan hilang kawalan sebelum terjatuh ke sungai dan mengorbankan sembilan penumpang dan pemandunya.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, Bingkok John berkata, kenderaan jenis Ford Ranger yang dipandu Ronany Ting, 33, itu dalam perjalanan dari Kapit ke Kuching menggunakan Jalan Beladin-Meludam.

“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu dipercayai gagal mengawal pergerakan kenderaan menyebabkan ia terbabas dan menggelongsor ke dalam (Sungai) Batang Lupar,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, orang ramai di kawasan jeti itu sempat mengikat kenderaan terbabit dengan rantai besi dan menariknya bagi menghalang ia tenggelam sebelum mengeluarkan semua mangsa.

“Siasatan punca kejadian dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (Sri Aman). Semua mayat dibawa ke Hospital Sri Aman untuk dibedah siasat.”

Selain Ting, tragedi kira-kira 3 petang itu turut mengorbankan lapan penumpang – Siti Aisha Abdullah, 36; tiga remaja dikenal pasti sebagai Nor Shuhada Mohamad, 16; Khairunnisa Muhamad, 14; Alvin Phang, 12, dan tiga kanak-kanak lelaki, iaitu Wallace Phang,7; Mohd Aiman Mohd Hamdan, 7, dan Muhd Mustaqim Mohd Hamdan, 5.

Tragedi itu turut meragut nyawa seorang bayi lelaki berusia empat bulan yang dikenal pasti sebagai Mohd Ahmad Mohd Hamdan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batang Lupar, Rohani Abdul Karim mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Katanya, wakil beliau sudah menemui ahli keluarga mangsa.

“Saya berharap semua pengguna Feri Triso berhati-hati dalam perjalanan, terutamanya dalam perjalanan jauh dan sentiasa mengutamakan keselamatan anda serta keluarga anda,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.