
Pengerusinya, Hisham Abdul Wahab berkata, beliau menyedari kebimbangan penduduk setempat sekiranya kilangnya dibenarkan operasi Feb ini akan menyebabkan berlakunya pencemaran asid dan plumbum seperti yang pernah berlaku di kawasan itu pada 2019.
“Apa yang berlaku pada 2019 tidak sama dengan kilang kami. Proses pembuatan kami tidak sama.
“Kita hanya memasang produk di sini dan tidak macam kilang bateri yang ditutup sebelum ini yang ada proses plumbum. Kami tak buat kerja-kerja itu,” katanya.
Federal Power Holding Sdn Bhd merupakan syarikat Bumiputera tunggal yang menceburi bidang penghasilan bateri solar di kawasan perindustrian Jenjarom, Kuala Langat.
Kilang menghasilkan bateri solar itu diambil alih daripada pemilik sebelum ini yang berasal dari China pada Jun tahun lalu.
Syarikat yang dahulunya menghasilkan produk bateri dengan melibatkan aktiviti peleburan plumbum ditarik balik lesen oleh Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) kerana disyaki menyebabkan pencemaran alam sekitar .
Hisham berkata, Federal Power bakal beroperasi sepenuhnya menjelang Feb depan.
Beliau berkata, syarikat ini memberi komitmen untuk memulihara alam sekitar sebaik-baiknya.
Katanya, beliau juga telah mengadakan pertemuan dengan wakil penduduk kampung di Jenjarom bagi memberi penerangan mengenai operasi syarikat itu.
“Kita sudah buat tiga pertemuan dengan wakil penduduk di Jenjarom dan MPKL sangat membantu dalam usaha itu, selain berkaitan proses mendapatkan lesen operasi kilang,” katanya.
Beliau berkata, syarikat itu juga memberi komitmen untuk menawarkan peluang pekerjaan kepada lebih 150 penduduk tempatan.
Katanya, tawaran itu membabitkan golongan belia daripada kumpulan isi rumah berpendapatan rendah (B40).
Ia adalah sebahagian daripada usaha syarikat membantu kumpulan masyarakat yang terjejas pandemik COVID-19, katanya.
“Kita akan tunggu kebenaran untuk beroperasi sebelum mengambil pekerja,” katanya.