
Sebanyak 2,295 kes baru COVID-19 dan sembilan kematian dicatatkan hari ini.
Ini menjadikan 94,492 kes pulih daripada keseluruhan 117,373 kes COVID-19 yang direkodkan di Malaysia setakat ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 22,398 kes aktif ketika ini, dengan 51 daripada 125 pesakit di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan.
Jumlah korban meningkat kepada 483 orang, apabila sembilan lagi warganegara berusia 41 hingga 82 tahun dengan latar belakang penyakit kronik meninggal dunia dalam tempoh 24 jam lalu.
Masing-masing dua kematian dicatatkan di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan serta satu di Sabah, Perak dan Kelantan.
Hisham berkata, daripada jumlah kes baru itu, 2,286 ialah penularan tempatan dan sembilan lagi kes import.
“Selangor melaporkan kes harian baru tertinggi, iaitu 638 kes (27.8%). Daripada jumlah itu, 496 kes (77.7%) daripada kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 di lapangan,” katanya dalam kenyataan.
Ia diikuti Johor dengan 580 kes, Pulau Pinang (288), Sabah (259), Kuala Lumpur (156), Negeri Sembilan (131), Melaka (95), Kedah (47), Pahang (29), Kelantan (26), Terengganu (16), Putrajaya dan Perak (masing-masing 12), Sarawak (5) dan Labuan (1).
Katanya, Perlis ialah satu-satunya negeri yang tidak melaporkan sebarang kes baru hari ini.
Beliau berkata, terdapat 135 kes (5.9%) berkaitan kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara, dengan kluster Penjara Jalan Harapan paling banyak, iaitu 109 kes, diikuti kluster Tembok Gajah (14), Kolam Air (3), Tembok (3), Penjara Seberang Perai (3), Tembok Mempaga (2) dan Tembok Choh (1).