Latihan terjunan tapak dibatal 2 hari demi hormati pengebumian penerjun

Latihan terjunan tapak dibatal 2 hari demi hormati pengebumian penerjun

Azuan mempunyai 18 tahun pengalaman dalam sukan payung terjun serta 12 tahun pengalaman dalam sukan BASE.

Latihan terjunan tapak yang dijadualkan 1 hingga 3 Jan ini merupakan persiapan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Feb depan. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Sesi latihan terjunan tapak sempena Hari Wilayah 2021 dibatalkan hari ini dan esok, susulan kematian penerjun, Azuan Taharudin, 49, di bangunan Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) semalam.

Perkara itu disahkan seorang rakan Allahyarham, Adi Khirman Marji.

“Latihan hari ini dan esok dibatalkan untuk menghormati pengebumian Allahyarham Azuan,” katanya ketika dihubungi melalui WhatsApp.

Latihan terjunan tapak yang dijadualkan 1 hingga 3 Jan ini merupakan persiapan pasukan dalam acara Putrajaya BASE Jump 2021 (PBJ2021) sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Feb depan.

Insiden berlaku kira-kira 5.35 petang semalam, semasa arwah bersama tujuh lagi penerjun pasukan Perbadanan Putrajaya (PPj) melakukan latihan payung terjun sebagai persiapan sambutan Hari Wilayah 2021.

Difahamkan, semasa terjunan, payung Allahyarham Azuan terbuka dan tiba-tiba ia hilang kawalan menyebabkan beliau terlanggar cermin bangunan beberapa kali sebelum terjatuh.

Beliau disahkan meninggal dunia pada 6.10 petang selepas dikejarkan ke Hospital Putrajaya.

Allahyarham Azuan mempunyai 18 tahun pengalaman dalam sukan payung terjun serta 12 tahun pengalaman dalam sukan terjunan tapak, serta melakukan lebih 500 terjunan dari kapal terbang dan lebih 300 kali terjunan tapak.

Sementara itu, KPWKM dalam kenyataan berkata, pihaknya dan PPj mengambil langkah keselamatan mengikut prosedur ditetapkan berkaitan latihan terjunan tapak itu, termasuk menyediakan pasukan keselamatan dan kecemasan di lokasi terjunan.

“Perbadanan Putrajaya telah mengemukakan permohonan kepada pihak kementerian dan kebenaran diberikan berdasarkan kepada syarat dipersetujui kedua-dua pihak.”

KPWKM berkata, terjunan tapak ialah sukan ekstrem yang diadakan di bangunan KPWKM setiap tahun dan penganjuran Putrajaya BASE Jump berjaya menarik penyertaan penerjun profesional, termasuk dari luar negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.